Muslimat usul tubuh 'Puteri PAS'

Dewan Muslimat PAS bercadang membawa usul menubuhkan pergerakan seumpama Puteri Umno dalam muktamar tahunannya minggu ini.

Setiausaha dewan itu Aiman Athirah al-Jundi memberitahu Malaysiakini hari ini, usul menubuhkan 'Dewan Muslimat Muda' telah diterima dan akan dibahaskan oleh perwakilan dewan itu.

"Besar kemungkinan usul tersebut akan dibawa ke muktamar penuh nanti," katanya.

Beliau menjelaskan, kira-kira 300 perwakilan termasuk barisan ahli jawatankuasa Muslimat dijangka hadir ke muktamarnya pada 14 Ogos di Ipoh.

Dewan Muslimat juga membawa usul agar kerajaan menetapkan tarikh berbeza untuk sambutan hari kekeluargaan seperti hari ibu dan hari bapa yang dianggap lebih sesuai dengan konteks Malaysia.

Aiman Athirah menambah, penetapan tarikh dan bentuk sambutan hari-hari tersebut haruslah bersesuaian dengan budaya negara kita yang tidak mengambil kira konteks khusus Malaysia.

"Masyarakat Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama Islam adalah agama rasmi. Adakah kita nak sambut (hari-hari tersebut) sama dengan sejarah negara-negara luar?" katanya.

Dewan Muslimat juga mencadangkan penubuhan Akademi Pembantu Rumah Tempatan untuk mengatasi kebergantungan negara kepada pembantu negara asing.

http://www.malaysiakini.com/news/87576

No comments

Powered by Blogger.