Najib: BN sukar gugat Anwar

Datuk Seri Najib Razak mengakui BN sukar menang dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi calon PKR di kerusi parlimen tersebut.

"Kita kena realistik, ia adalah kawasan yang sukar. Kita akan berusaha sebaiknya," kata timbalan perdana menteri hari ini.

najib hilton hotel pc 010808 01Mengulas lanjut keputusan presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatannya semalam sebagai anggota parlimen di kawasan itu, Najib berkata Anwar mempertaruhkan "masalah peribadinya" kepada orang ramai.

"Sebenarnya, tuduhan dibuat oleh pegawai khas beliau sendiri, bukan oleh kerajaan. Dan ada cara-cara untuk menyelesaikan tanpa membawa perkara ini kepada rakyat.

"Tetapi dia tidak pilih cara-cara tersebut. Beliau pilih untuk bawa perkara ini kepada rakyat, khususnya pada pengundi di Permatang Pauh. Tetapi kita terima perkara ini. Kita akan hadapi," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran program khusus ke Universiti al-Azhar di Kuala Lumpur.

Pembantu penasihat PKR itu Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa diliwat dalam satu laporan polis 28 Jun lalu.

Kertas siasatan polis kini sudah disiapkan dan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara sebelum memutuskan sama ada wujud kes prima facie untuk mendakwa mantan timbalan perdana menteri itu.

Desas-desus Anwar ditahan dan kemudian dibawa ke mahkamah semakin hangat diperkatakan.

Najib menambah, BN bagaimanapun tidak gentar menghadapi pilihanraya kecil itu kerana kerajaan pimpinan parti itu masih menguasai parlimen.

"Kerajaan tidak takut. Kita ada majoriti yang cukup (dalam parlimen). Tetapi Anwar memutuskan membawa kepada rakyat," katanya.

Mengulas kemungkinan BN meletakkan bekas setiausaha politik Anwar, Mohamad Ezam Mohd Nor sebagai calon untuk merampas kerusi itu, Najib berkara pemilihan calon masih belum dibincangkan.

"Kita tidak bincang soal calon lagi. Soal calon kita kena ikut proses (melibatkan) perbincangan di peringkat perhubungan (negeri) dan bahagian. Akhirnya pucuk pimpinan akan buat keputusan yang sewajarnya," katanya.

Mohamad Ezam, bekas ketua Pemuda PKR, pernah menawarkan diri bertanding atas tiket BN untuk menentang Anwar di Bandar Tun Razak dan Kulim-Bandar Baharu.

anwar ibrahim wan azizah permatang pauh by election 310708Najib bagaimanapun enggan menjelas bila BN akan berbincang untuk menetapkan calon terbaik untuk menghadapi tokoh utama pembangkang itu.

"Ia proses. Kita tidak perlu bagi tahu bila (akan) dibincang. Yang penting, perbincangan dibuat," katanya.

Mengulas sama ada karier politik Anwar akan tamat jika tidak dapat mempertahankan kubu kuatnya itu, Najib berkata:

"Kita tidak tahu. Beliau sudah buat kira-kira. Beliau rasa itu peluang terbaiknya. Kita letakkan pada rakyat untuk memutuskannya."

Anwar semalam mengumumkan bertanding di kerusi parlimen itu yang telah dikosongkan oleh isterinya pada sebelah pagi.

Permatang Pauh merupakan kerusi tradisi Anwar selama 17 tahun sejak memenanginya pada 1982 atas tiket BN.

Dr Wan Azizah menguasainya selama tiga penggal apabila Anwar dipenjarakan pada 1999 dan 2004 dan dilarang bertanding dalam pilihanraya umum Mac lalu.

Sementara itu perdana Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, BN akan cuba merampas kembali kerusi parlimen itu.

BN tidak akan memberi kemenangan percuma kepada Anwar, katanya lagi selepas mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Brunei, Pengiran Muda Al-Mutadee Billah di Putrajaya hari ini.

No comments

Powered by Blogger.