Nik Aziz beri 'kekuatan' pada Anwar



BUKIT MARTAJAM: Kehadiran -pemimpin-pemimpin kanan PAS termasuk Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengiringi Ketua Umum Parti keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh 16 Ogos, hampir menyelesaikan konflik PAS-PKR berkaitan pilihan raya kecil yang menjadi kebimbangan ramai.

Kehadiran Nik Aziz bersama Naib Presiden PAS, Husam Musa dan
Mohammad Sabu, serta sekurang-kurangnya enam Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, iaitu Dr Hatta Ramli. Dr Dzulkifli Ahmad, Dr Syed Azman Syed Nawawi, Dr Lo'lo Ghazali, Dr Mariah Mahmood dan Mujahid Yusuf ketika PAS dalam waktu yang sama sedang bermuktamar di Ipoh telah dilihat sebagai satu langkah paling berkesan untuk menyelesaikan isu memboikot kempen pilihan raya oleh sebahagian ahli PAS di Pulau Pinang mempengaruhi ahli-ahli yang lain.



Kehadiran ramai pimpinan PAS untuk memberi sokongan moral kepada Anwar itu begitu menarik perhatian bila mana mereka meninggalkan sebentar muktamar PAS yang penting dihadiri oleh semua pimpinan kerana selain ekoran tercetusnya kontraversi dalam PAS baru-baru ini, muktamar ke 54 ini juga merupakan muktamar para ahli PAS
mempersoalkan secara terbuka hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat.

Justeru kehadiran para pimpinan PAS itu dilihat mampu memberi suntikan semangat kepada ahli PAS untuk turun membantu Anwar dalam pilihan raya tanpa dibayangi oleh isu sama ada melibatkan hubungan PAS dengan parti-parti dalam Pakatan Rakyat maupun isu yang sedang dihadapi oleh Anwar sendiri melibatkan tuduhan liwat.
Walaupun Permatang Pauh merupakan kubu kuat Anwar sejak sekian lama dimana beliau dan Isterinya, Dr Wan Azizah Ismail memenangi kerusi parlimen di situ selama tujuh penggal, penglibatan ahli dan jentera PAS tetap dilihat penting untuk memastikan BN berputih mata sekali lagi.
Pimpinan tertinggi DAP iaitu Lim Kit Siang, Lim Guang Eng dan Karpal Singh turut hadir mengiringi Anwar.

Hari penamaan calon pilihan raya kecil Permatang Pauh telah ditetapkan
oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 16 Ogos iaitu hari kedua
muktamar PAS yang bermula pada 15 Ogos. Manakala muktamar
Pemuda, Muslimat dan Ulama dibuat sehari lebih awal.

Nik Aziz yang sampai di pusat penamaan calon selepas Anwar memasuki
dewan untuk proses pencalonan telah mengambil masa hampir satu jam
di situ bersama pimpinan lain di ruang VIP yang disediakan.

Ketibaan beliau dengan kereta Proton Wira berwarna biru yang terpaksa melepasi kumpulan penyokong yang berkumpul dilaluan untuk memasuki
pusat penamaan calon telah disambut dengan laungan takbir serta laungan reformasi.

Bahkan kereta dinaiki beliau telah diserbu oleh para penyokong yang mahu mendekati beliau sehingga terpaksa disuraikan oleh anggota polis.
Manakala kehadiran Mohammad Sabu yang tidak memasuki ruang VIP sebaliknya berada bersama para penyokong di padang yang dikhaskan
turut mendapat sambutan luar biasa.

Bagaimanapun Nik Aziz dan Mohammad pulang lebih awal sebelum proses penamaan calon berakhir kira-kira jam 12.00 tengahari.


Dijangkakan lebih 50 ribu penyokong Pakatan Rakyat termasuk daripada
PAS yang datang dari seluruh negara hadir mengiringi Anwar. Sebahagian
mereka telah berada di lokasi pusat penamaan calon seawal jam 2.00 pagi
lagi.

Sebelum ini dilaporkan ada sebahagian ahli PAS tidak mahu melibatkan
diri dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh yang akan ditandingi
oleh Anwar kerana tidak berpuas hati dengan PKR selepas pilihan raya
umum 2008.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mengesahkan perkara
tersebut dalam sidang akhbarnya selepas merasmikan muktamar Jumaat
lalu, tetapi menegaskan beliau telah turun ke Permatang Pauh dan
mengarahkan jentera PAS membantu kempen Anwar.

Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub dalam muktamar Dewan Pemuda
turut mengarahkan Pemuda PAS memberi sokongan tidak berbelah bahagi
membantu kempen Anwar.

Walaupun tercetusnya ada kalangan ahli PAS di Pulau Pinang mahu
memboikot pilihan raya kecil, dalam tinjauan awal Siasah, tiada tanda-
tanda ketara berlakunya usaha memboikot seperti mana didakwa,
sebaliknya kerjasama khususnya kepada ahli-ahli PAS dari negeri lain yang
hadir telah diberikan dengan baik oleh ahli PAS setempat seperti
menyediakan tempat penginapan dan sebagainya.

Malahan bahan-bahan kempen seperti baju T turut disediakan kepada
penyokong yang datang untuk mengikuti perarakan mengiringi Anwar
disamping menyediakan bilik operasi kepada ahli PAS yang datang untuk
bertugas.

Bendera-bendera PAS turut kelihatan dibeberapa lokasi disamping bendera
yang dikibarkan pada kenderaan yang boleh dilihat dalam kawasan pilihan
raya.
Dalam pilihan raya kecil ini Anwar disahkan sebagai calon selepas proses
penamaan selesai dalam satu pertandingan tiga penjuru. Beliau akan ditentang oleh calon Barisan Nasional daripada Umno, Datuk Arif Shah Omar Shah (gambar kanan) dan Hanafi Hamad dari AKIM (gambar kiri). Seorang lagi calon yang turut mengemukakan borang pencalonan, Dr Mansor Othman telah menarik diri. Dalam pada itu SPR telah menerima
lima bantahan tetapi semuanya ditolak.

Perarakan memasuki kawasan pusat penamaan calon bermula sekitar jam
8.00 pagi yang dimulakan oleh penyokong Anwar sebelum diikuti oleh
penyokong BN.

Kedua-dua penyokong telah ditempatkan di Padang Dewan Institut Perguruan Tunku Bainun (tempat penamaan calon) dengan dipisahkan
oleh ruang kosong yang dikawal ketat oleh anggota FRU.

Sepanjang waktu menunggu, suasana agak panas apabila kedua-dua penyokong saling kata mengata antara satu sama lain termasuk
berlakunya dua insiden yang tidak diingini melibatkan seorang jurgambar
di pukul dan ahli Putri Umno diraba.



Ikuti laporan khas pilihan raya kecil Permatang pauh dalam akhbar Siasah
akan datang.

No comments

Powered by Blogger.