NIZAR TURUN BANTU KEMPEN PRK P44

PERMATANG PAUH: Menteri Besar Perak Darul Ridzuan Dato Seri Ir Haji Mohamad Nizar Jamaludin hari ini membuat kunjungan ke kawasan Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di sini (25 Ogos) untuk membantu jentera kempen parti Pakatan Rakyat.

Beliau pada mulanya singgah di Yayasan Aman, Penanti untuk membuat kunjungan hormat pada calon Pakatan Rakyat, iaitu penasihat PKR Dato Seri Anwar Ibrahim bersama-sama tiga pegawainya iaitu Setiausaha Politik Al Ustaz Misbahul Munir Masduki, Setiausaha Akhbar Sdr Anuar Hashim dan Pegawai Khas Sdr Amran.

Kunjungan Nizar dan rombongan disambut mesra oleh Anwar yang kemudian bertukar-tukar fikiran dan pandangan seketika mengenai perjalanan kempen pilihan raya dan jangkaan aliran pengundian 26 Ogos.

Detik 12 tengah malam 25 Ogos adalah hari terakhir kempen bagi pilihan raya kecil itu. Nizar berkesempatan menyampaikan ceramah di enam lokasi iaitu markas PKR di Kampung Pertama, di dua lokasi di Seberang Jaya, di Kubang Semang dan menyampaian tazkirah di Surau Taman Sutera, sebelum berucap pada ceramah penutup bersama-sama Anwar di Jalan Baru di sini.

Semasa menyampaikan tazkirah pada waktu lepas maghrib di surau berkenaan, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid telah turut hadir. Nizar kemudian mengimamkan solat jemaah Isya selepas tazkirah. Selepas itu beliau dan Khalid menyampaikan ceramah politik di pusat gerakan taman itu.

Ketika di Yayasan Penanti, Anwar telah meminta agar Nizar turut disenaraikan sebagai penceramah pada majlis ceramah penutup kempen pilihanraya kecil itu di Jalan Baru dan Nizar tidak menolak permintaan itu.

Sebelum itu, semasa makan tengah hari di restoran Sri Bawal di Padang Menora, Nizar kerap disapa oleh tetamu yang menjamu selera di situ dan sesuatu yang mengejutkan juga kerana begitu ramai kenalannnya sewaktu beliau berkhidmat seperti di PDC dahulu berada sekitar Permatang Pauh.

Orang ramai kelihatan memberi sokongan dan jaminan pada Nizar bahawa mereka adalah penyokong padu Pakatan Rakyat dan akan memastikan Anwar menang pada pilihanraya kecil itu. END

No comments

Powered by Blogger.