Pas, DAP akan bantu PKR

KUALA LUMPUR 31 Julai – Pas akan mengerahkan seluruh jenteranya untuk memastikan kemenangan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sokongan itu adalah selaras dengan pendirian parti berkenaan untuk terus kekal bersama pakatan pembangkang.

‘‘Saya telah dihubungi Anwar hari ini bagi memaklumkan hasratnya bertanding di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Hadi berkata, beliau turut mengalu-alukan langkah Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk mengosongkan kerusi berkenaan bagi memberi laluan kepada bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Beliau mengulas pengumuman Wan Azizah hari ini untuk meletak jawatan sebagai ahli Parlimen kawasan itu berkuat kuasa serta-merta bagi memberi laluan kepada suaminya untuk bertanding pada pilihan raya kecil nanti.

Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, parti berkenaan akan memberi sokongan dan bantuan sebaiknya kepada Anwar kerana pilihan raya kecil itu boleh mewujudkan perpaduan di kalangan parti yang menganggotai pakatan pembangkang.

No comments

Powered by Blogger.