PKR kemuka calon 'simpanan'
Empat orang calon menyerahkan borang penamaan calon bagi pilihanraya umum Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.
Yang mengejutkan ialah seorang pemimpin PKR Pulau Pinang turut menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding sebagai calon bebas.
Beliau adalah timbalan pengerusi biro pilihanraya PKR, yang juga bekas pengerusi PKR Pulau Pinang, Dr Mansor Othman.
Ekoran itu, tercetus desas-desus yang mengatakan Dr Mansor adalah calon 'simpanan' PKR sekiranya pencalonan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ditolak.
Jika tidak, Dr Mansor difahamkan akan menarik diri. Beliau mempunyai tempoh selama tiga hari untuk berbuat demikian.
Bagaimanapun, beliau akan hilang wang depositnya.
Ketika ditemui pihak media kemudiannya, pengarah pilihanraya PKR Permatang Pauh, Mustapha Kamal Yusof mengesahkan bahawa Dr Mansor adalah calon 'simpanan'.
Yang lainnya terdiri daripada calon Barisan Nasional (BN), calon PKR, seorang calon Bebas dan calon dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM).
BN diwakili oleh Datuk Arif Shah Omar Shah manakala PKR pula diwakili oleh penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Manakala calon dari AKIM ialah Hanafi Mamat, 61 tahun. AKIM merupakan parti serpihan PAS.
AKIM yang ditubuhkan pada 1995 dan mendakwa mempunyai kira-kira 10,000 ahli di seluruh negara.
Parti ini pernah bertanding pada pilihanraya umum 1999 bagi kerusi Parlimen Pasir Puteh dan Kota Bharu tetapi tewas.
Dr Mansor pula menyerahkan borang penamaan calonnya pada jam 9.40 pagi, diikuti oleh Hanafi pada jam 9.55 pagi.
Calon BN, Arif Shah adalah yang pertama menyerahkan borang penamaan calon pada jam 9.12 dan diikuti oleh Anwar pada jam 9.18 pagi.
Proses penamaan calon tamat pada jam 10 pagi, diikuti dengan tempoh bantahan selama sejam.
Pegawai pengurus pilihanraya dijangka mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada kira-kira jam 12 tengahari.
No comments
Post a Comment