Polis nafi Zulkifli Nordin ditahan ISA

KUALA LUMPUR,10 Ogos (Hrkh) - Polis menafikan berita yang tersiar dalam beberapa laman blog hari ini bahawa Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), malam tadi.
Iklan




Menurut laporan Bernama yang dipetik mStar Online,Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menyifatkan berita itu sebagai khabar angin semata-mata.

"Mana ada beliau ditahan? Ini semua khabar angin dan ini merupakan perbuatan tidak bertanggungjawab oleh segelintir pihak yang sengaja buat spekulasi.

"Polis akan siasat laman blog yang menyiarkan berita berkenaan dan harap orang ramai tidak terpengaruh dengan khabar angin sedemikian," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Blog berkenaan memberitahu Zulkifli dari Parti Keadilan Rakyat ditahan di Kulim kira-kira 10 malam tadi dan tiada maklumat lanjut mengenai ke mana beliau dibawa polis.

Pada 29 September 1998, Zulkifli, 46, pernah ditahan di bawah ISA selama 60 hari kerana terlibat dalam gerakan reformasi bersama Penasihat PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Kali terakhir beliau muncul di khalayak ramai ialah pagi semalam di ibu negara ketika menyertai perhimpunan membantah forum anjuran Majlis Peguam.

Dalam pada itu, Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mohd Akin ketika dihubungi mStar Online berkata, khabar angin Zulkifli ditahan polis telah mula tersebar luas sejak semalam ketika ceramah KeADILan di Permatang Pauh.

"Kalangan pemimpin KeADILan juga mengetahui mengenai perkara ini. Tetapi tidak pasti sejauh mana kebenarannya.

"Saya juga cuba hubungi Zulkifli namun gagal dan berharap khabar angin ini tidak benar," katanya.

Sementara itu, usaha mStar Online menghubungi beliau sehingga 7 petang ini juga gagal kerana telefon bimbitnya tidak diaktifkan. - mks. _

No comments

Powered by Blogger.