Sidang DUN Hari Pertama, Wakil PAS Tidak Puas Hati

http://buletinonline.net/images/berita9/sidangdun220081.jpg
Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS tidak berpuashati dengan perjalanan sidang hari pertama Persidangan Kali Ke 2 Penggal Ke 12 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bermula semalam (13 Julai) dan akan berakhir hari ini.

Antara perkara yang ditimbulkan adalah masa persidangan yang terlalu pendek, masa untuk soalan lisan dihadkan kepada satu jam sahaja serta hanya satu soalan sahaja yang dibenarkan pada hari pertama.


ADUN Sura Ustaz Wan Hassan Ramli berkata persidangan hari ini (semalam) hanyalah untuk pembentangan laporan dan usul menubuhkan kumpulan wang pinjaman motosikal kakitangan kerajaan.


“Hanya satu soalan dibenarkan dan sebahagian jawapan yang diberikan oleh pihak kerajaan amat tidak memuaskan,” kata beliau yang dihubungi oleh Buletin Online semalam.


Sebelum itu, pada permulaan Sidang, Yang DiPertua DUN, Dato’ Tengku Putera Tengku Awang telah mengumumkan Sidang telah menerima 15 soalan lisan, namun beliau telah meletakkan beberapa had kepada para ADUN.

Beliau berkata hanya soalan pertama sahaja yang dibenarkan dan beliau tidak mahu soalan-soalan tambahan dikemukakan dengan alasan untk menjimatkan masa.


Justeru sehingga sesi pagi berakhir, hanya 11 soalan sahaja yang dikemukakan oleh ADUN dan dijawab oleh pihak kerajaan.


ADUN Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah merasa kesal kerana tidak dapat membawa suara rakyat yang diwakilinya kerana tidak diberikan masa yang secukupnya.

Beliau yang dihubungi semalam menyatakan bahawa kerajaan tidak bersedia untuk menjawab soalan-soalan yang kemukakan dengan jujur.


Beliau mengambil contoh soalan berkaitan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang dikemukakan oleh ADUN Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut.


Menurut beliau Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Yahya Khatib menjawab soalan secara ‘melepaskan batuk ditangga sahaja’ dengan tidak memberitahu perkara yang sebenarnya kepada Sidang.


Mengulas perkara yang sama, ADUN Bukit Tunggal Dr Alias Razak berkata pihak kerajaan tidak telus dan tidak bertanggungjawab ketika menjawab soalan-soalan yang dikemukakan.

”Kerajaan Terengganu dibawah pimpinan Menteri Besar Dato’ Ahmad Said adalah kerajaan yang tidak ada pemikiran (idea) yang baru,”katanya.


Beliau berkata demikian kerana menurutnya kerajaan memanggil Sidang pada kali ini hanya untuk mengemukakan usul pinjaman motosikal.


Kedua-dua ADUN Bukit Payung dan Bukit Tunggal hanya diberikan masa satu minit setiap seorang bagi mengemukakan soalan lisan!

No comments

Powered by Blogger.