Tahu laporan perubatan terbaru, polis; Anwar tetap tolak syor bersumpah

(Mutakhir) PERMATANG PAUH: Sambil mengulangi perlu bersumpah atas al-Quran, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mengetahui kandungan laporan perubatan kedua, kendalian Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan juga laporan polis berhubung dakwaan liwat yang dihadapinya.

Sehubungan itu, beliau mahu mahkamah mengarahkan kes tersebut ditarik balik apabila ia disebut semula bulan depan ditarik balik.

Malah pada sidang media pertama yang formal selepas penamaan calon semalam, bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau tidak akan memenuhi desakan mana-mana pihak supaya bersumpah atas al-Quran sebagaimana dilakukan oleh Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 23, bekas pembantu peribadinya dua hari lalu.

"Laporan perubatan sangat jelas, Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah kata ia sebagai (kes) rogol, dia (Saiful) kata dipaksa, polis pula mengatakan bahawa rela... dia kata satu, lapan kali, 11 kali... waktu (diliwat) juga berubah.

"Anda mengatakan bahawa perlu bersumpah atas al-Quran?... Hendak persenda al-Quran... "Jika sistem kehakiman adil, dan saya mengatakan kepada anda bahawa hakim perlu menarik balik kes sebaik sahaja ia dibawa ke mahkamah.'

"Ini kerana saya tahu kes ini, saya (sudah) tahu laporan perubatan (yang kedua)... ini bukan andaian saya telah melihat laporan. Kawanku, ia bukan andaian," kata beliau di Bilik Gerakan Utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Penanti dekat sini pagi ini.

Anwar yang bertanding untuk merampas balik kerusi Parlimen Permatang Pauh, kali ini sebagai calon pembangkang, memberitahu, maruah dan kehormatan menjadi pertikaian buat masa sekarang.

"Walaupun anda tidak menyokong dan menghormati saya, anda mesti menghormati undang-undang," katanya.

Pada Jumaat lalu Saiful melakukan sumpah atas al-Quran berhubung dakwaannya diliwat Anwar sambil menggesa bekas majikannya itu supaya turut berbuat demikian.

mStar Online difahamkan Anwar menerima laporan polis dibuat Saiful pada petang Jumaat lalu.

Laporan perubatan pertama disempurkan oleh doktor Hospital Pusrawi dan kemudian Saiful diperiksa oleh doktor-doktor HKL.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga menggesa Anwar bersumpah sebagaimana dilakukan oleh Saiful.

Ketika berkempen malam tadi, Anwar berkata, beliau tidak akan bersumpah berhubung tuduhan liwat terhadapnya kerana bimbang sumpahnya akan dimanipulasikan oleh pihak tertentu.

Katanya, sumpah yang dilakukan bekas pembantu peribadinya sengaja dibuat bagi menafikan peluangnya memenangi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos ini.

"Nak bukti apa lagi. Laporan dah keluar. Tiada liwat. Ini dia (Saiful) pula nak sumpah. Kes ini tidak ke mana. Sebab itu dia tau kes ini tidak ke mana, jadi dia malukan saya dan aibkan saya semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh.

"Dulu saya dituduh meliwat dan saya yang dipenjarakan," katanya di Taman Cermai dekat sini.

No comments

Powered by Blogger.