50 Doktor Dengan 201 Kakitangan Perubatan Bertugas Pada Musim Haji Ini

MADINAH, 11 Okt (Bernama) -- Seramai 50 orang doktor termasuk doktor pakar yang dibantu dengan 201 kakitangan sokongan seperti juru sinar-x, ahli fisioterapi, pembantu pegawai perubatan dan jururawat akan bertugas pada sepanjang musim haji ini di Mekah dan Madinah.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Roniyuzam Abdul Malek berkata tiga pusat perubatan dibuka di Madinah iaitu di Bangunan TH Madinah dan dua buah, Aziziah (Pusat Rawatan Syisya) dan Al-Janariah di Mekah.

"Ketiga-tiga pusat rawatan itu masing-masing dilengkapi sebuah alat sinar-x. Selain itu klinik rawatan turut dibuka di dua zon di Madinah manakala satu di setiap maktab di Kota Mekah," katanya kepada pasukan media TH Malaysia di Pusat Rawatan Madinah di Bangunan TH Madinah, pada Isnin.

Turut hadir Pengarah Operasi Pasukan Perubatan TH di Madinah, Dr Norazmi Abdullah.

"Pusat perubatan di Madinah dan Mekah tidak menyediakan kemudahan pembedahan walaupun yang kecil tetapi kami boleh merawat luka-luka kecil, membuat pemeriksaan dan memberi ubat serta nasihat kesihatan," tambahnya.

Katanya bagi kes kritikal atau masalah komplikasi yang teruk, pesakit akan dirujuk ke hospital Raja Fadh di Madinah atau hospital Raja Fadh (Mekah) serta hospital An-Nur di Mekah manakala kes kematian pula akan diuruskan mengikut prosedur yang ditetapkan TH.

"Kebanyakan kes yang dirujuk kepada kami membabitkan selesema dan sakit tekak. Saya ingin menasihatkan jemaah supaya menjaga kesihatan kerana dalam masa dua tiga hari ini cuaca panas mencecah 44 darjah celsius, panas dan kering.

Jemaah perlu banyak minum air, menjaga kebersihan diri, membasuh tangan dan tidak terlalu mendedahkan diri atau makan di tempat-tempat terbuka selain mematuhi nasihat TH," kata Dr Roniyuzam.

No comments

Powered by Blogger.