Cabang PKR WP diarah wujudkan 50 aktivis

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan (WP) telah melaksanakan pendekatan memastikan sekurang-kurangnya 50 aktivis parti yang bergerak aktif setiap masa bagi setiap cabang yang ada.

Demikian antara saranan Dato Zaid Ibrahim yang telah dilantik sebagai Pengerusi PKR WP pada bulan Julai lalu, kata Naib Pengerusinya, Azman Abidin.

Menurut Azman lagi, walaupun Zaid baru tiga bulan menerajui PKR WP dan ditambah pula dengan kesibukan musim pemilihan parti, beliau masih sempat membawa beberapa perubahan dalam PKR WP.

Zaid juga telah bertemu ahli-ahli akar umbi di semua cabang dalam WP untuk memperkemaskan lagi jentera parti dalam menghadapi serangan lawan dan seterusnya memperkukuhkan kedudukan parti dalam Wilayah Persekutuan.

Selain itu, kata beliau, Zaid juga sedang merangka pelan jangka pendek dan jangka panjang untuk pembangunan PKR WP, lebih-lebih lagi untuk mempertahankan kerusi-kerusi yang dimenangi PR dalam PRU-12.

Gaya kepimpinan berbeza

Pengerusi PKR WP telah mencatat sebanyak sembilan kali bertukar tangan semenjak pengerusinya pertama, Zainur Zakaria termasuk Azman sendiri.

"Memang menjadi kelaziman, pasti ada perbezaan masing-masing samada gaya kepimpinan mahupun cara mencorak pentadbiran bagi setiap pemimpin-pemimpin ini. Masing-masing ada kelebihan tersendiri.

"Istimewanya Zaid ialah beliau mempunyai gaya pemikiran tersendiri dan juga berani membawa idea-idea baru kepada PKR WP ini," tambahnya.

Selain itu, Azman berkata, Zaid juga dilihat seorang yang berpegang kuat pada prinsip-prinsip yang beliau yakini benar sehingga sanggup melepaskan jawatan Menteri Kehakiman yang pernah beliau sandang sebelum ini.

PKR di bawah Zaid juga akan mendekatkan diri dan menjalin kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memudahkan gerak kerja parti dan untuk mempercepatkan sebaran maklumat kepada masyarakat.

Kritikan bersifat sementara

Ketika menjawab kritikan-kritikan terhadap Zaid semenjak kebelakangan ini, beliau berkata ia disebabkan idea dan pendekatan yang mungkin berbeza yang dibawa oleh Zaid dan menyifatkan kritikan-kritikan ini cuma bersifat sementara sebelum dapat diterima.

"PKR adalah sebuah parti yang terbuka bukan sahaja dari segi penyertaan keahliannya malah juga dari segi aliran pendapat.

"Ia adalah sesuatu yang sihat untuk parti apabila parti menerima lebih banyak idea-idea dari sudut lain berbanding hanya satu sudut sahaja.

"Perbezaan-perbezaan idea yang dibawa oleh Zaid ini sekaligus membolehkan parti mempunyai lebih banyak pilihan untuk membuat keputusan," ujar Azman lagi.

Beliau juga tidak menolak peranan media-media kawalan Umno-Barisan Nasional (BN) memanipulasikan kenyataan-kenyataan atau kritikan yang dikeluarkan oleh Zaid dengan tujuan untuk menggambarkan kelemahan PKR di mata masyarakat negara ini.

"Perkara ini mungkin berlaku disebabkan dalam BN, perbezaan pendapat bukanlah satu kebiasaan malah dilihat sebagai suatu perkara yang negatif berbanding dengan PKR yang meraikan setiap perbezaan yang ada," ujar Azman.

No comments

Powered by Blogger.