Jika Ku Li Tolak Jadi Calon, Penggantinya Mesti Anak Tempatan - Khairy

REMBAU, 2 Okt (Bernama) -- Jika Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menolak menjadi calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, anak tempatan yang dicalonkan itu pula mendapat restu beliau, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Pemuda UMNO akan memberi sokongan padu terhadap calon yang dipilih pucuk pimpinan dan yakin calon yang akan diketengahkan itu adalah seorang yang berwibawa, katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbukanya di Dewan Seri Rembau di sini, pada Sabtu.

Khairy yang juga Anggota Parlimen Rembau berkata beliau telah mengarahkan Pemuda UMNO Kelantan dan Gua Musang membuat persiapan seperti yang dibuat untuk menghadapi pilihan raya kecil sebelumnya.

Katanya Pemuda UMNO telah mengenal pasti senarai pengundi muda dan melahirkan keyakinan bahawa mereka akan menyokong Barisan Nasional.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Kelantan Anuar Safian yang turut hadir pada majlis itu berkata Pemuda Kelantan yakin bahawa pelantikan Tengku Razaleigh sebagai Pengarah pilihan raya itu akan dapat memberikan impak yang besar.

"Kita merasakan sudah tiba masanya Tengku Razaleigh diberi peranan yang besar pada pilihan raya kecil ini, lebih-lebih lagi beliau merupakan seorang pemimpin yang berpengaruh dan mempunyai pengalaman yang luas dalam politik di Kelantan," katanya.

Katanya Tengku Razaleigh harus diberi peranan yang besar, bukan sahaja sebagai Anggota Parlimen malah sebagai anggota DUN yang akan membawa suara rakyat Kelantan dalam sidang dewan negeri itu nanti secara lebih menyeluruh bersama enam wakil rakyat BN.

No comments

Powered by Blogger.