Kenyataan Media 14 Oktober 2010: Laksana Pembaharuan Institutusi (Institutional Reform), Dedah Akaun Calon dan Cat Jari Demi Integriti Parti

Kenyataan Media 14 Oktober 2010: Laksana Pembaharuan Institutusi (Institutional Reform), Dedah Akaun Calon dan Cat Jari Demi Integriti Parti
KENYATAAN MEDIA

14 Oktober 2010

Laksana Pembaharuan Institusi (Institutional Reform), Dedah Akaun Calon dan Cat Jari Demi Integriti Parti

Assalamualaikum dan salam mesra,

Sempena proses pemilihan peringkat pusat dengan pengesahan calon-calon bertanding pada 16 Oktober ini, saya mencadangkan supaya semua calon yang bertanding mengisytiharkan harta serta belanjawan masing-masing.

Boleh dikatakan sepanjang pilihan raya umum dan kecil lepas, oposisi mengajak rakyat percaya bahawa kebanyakan pemimpin UMNO/BN mengamalkan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Kita bukan sahaja mencabar mereka yang terbabit mendedahkan akaun masing-masing dan belanjawan pilihan raya masing-masing sempena pilihan raya. Malah, kita juga mendesak pihak berwajib seperti SPR dan SPRM supaya menyiasat beberapa pemimpin UMNO/BN yang kita anggap tiada integriti.

Cabaran dan desakan ini semata-mata kerana kita mahu melihat proses pilihan raya dan demokrasi berlangsung secara bersih, bebas dan adil.

Apa yang kita cadangkan serta desakan ini, bagi saya adalah suatu pembaharuan institusi (institutional reform) - iaitu kita mereformasi sistem yang sedia ada supaya mengangkat pemimpin yang adil dan bersih.

Pengalaman menentang korupsi Tun Dr. Mahathir Mohammed pada era Reformasi tersebut akhirnya masih mengangkat seorang peribadi korup yang lain iaitu Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi.

Penentangan massa ke atas Abdullah akhirnya tetap mengangkat seorang peribadi yang juga korup, iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penentangan ini senantiasa tidak menyebelahi rakyat untuk mengangkat seseorang yang adil, bersih dan demokratik selagi kita tidak membawa suatu pembaharuan institusi dalam sistem pilihan raya negara.

Kita gagal membenamkan parti rejim jua sebenarnya ekoran kita gagal membawa pembaharuan institusi (institutional reform) terlebih dahulu ke dalam negara.

Sebab itu, rakyat perlu menganggap beberapa tuntutan BERSIH ke atas SPR menjelang PRU12 lalu sebagai suatu pembaharuan institusi.

Institusi yang direformasi menjadi bebas, adil dan demokratik pastinya akan mengangkat kepemimpinan yang integriti, adil dan demokratik.

Sekarang kita tidak mampu melakukan semua pembaharuan institusi ini di dalam kerajaan; khususnya SPR kerana kita masih tidak berpeluang mendapat mandat rakyat.

Tetapi, kita khususnya JPP mempunyai kuasa untuk membuktikan bahawa semua ini relevan dan realistik untuk dilaksanakan dalam negara, dengan kita menjadikan parti kita sebagai pelantar ujian yang sihat.

Biar dunia melihat bahawa semua cadangan pembaharuan institusi (institutional reform) ini relevan dan realistik untuk dilaksanakan dalam Malaysia dengan melihat pelantar ujian kita.

Yang terjejas, mungkin pemimpin yang melakukan korupsi atau menyalahguna kuasa sahaja.

Rakyat akan melihat komitmen ini.

Tidak mustahil rakyat akan sokong usaha ini dan bersedia memberi mandat kepada Pakatan Rakyat, khususnya Parti KEADILAN kerana mereka percaya Parti KEADILAN jika memerintah selepas PRU13 kelak akan laksanakan pembaharuan institusi (institutional reform) dalam negara sebagaimana yang telahpun dibuktikan dalam parti kita.

Satu lagi, saya cadang kita laksanakan cat jari sempena pemilihan kali ini.

Cadangan ini yang bagi saya satu lagi pembaharuan institusi (institutional reform) mampu membuka mata rakyat.

Rakyat akan berkata, "rupa-rupanya sistem cat jari dan dedah akaun peribadi calon tidak lah mengganggu sistem demokrasi. Kalau KEADILAN boleh buat, mengapa kerajaan pusat masih cipta alasan untuk membodohkan rakyat?"

Sekali saya cadangkan, JPP perkenalkan sistem dedah akaun peribadi calon dan cap jari demi mengangkat imej parti sebagai parti yang bersih dan saksama.

Saya mohon sokongan semua pihak.

Saya percaya calon-calon yang bertanding memang bersedia untuk membuktikan parti kita sebagai parti yang bersih, integriti dan demokratik untuk semua rakyat Malaysia.

"Angkat Politik Nilai, Laksana Pembaharuan Institusi (Institutional Reform) Demi Memperkasa Imej Parti"

Mustaffa Kamil Ayub
Naib Presiden
Parti KEADILAN Rakyat

www.mustaffakamil.blogspot.com
muskamil_63@yahoo.com
muskamil63@gmail.com

No comments

Powered by Blogger.