Koh Tolak Perletakan Jawatan Keng Yaik

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- Jawatankuasa Pusat Parti Gerakan hari ini memutuskan untuk menolak surat perletakan jawatan Tun Dr Lim Keng Yaik selaku penasihat parti yang dikemukakannya semalam.

Presiden parti Tan Sri Koh Tsu Koon berkata mesyuarat yang berlangsung selama kira-kira tiga jam bermula 7 malam tadi, sebaliknya memutuskan untuk meminta Keng Yaik mempertimbangkan semula keputusan itu.

"Ini adalah demi kepentingan dan perpaduan parti," katanya yang ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu hari Selasa.

Bagaimanapun, Koh enggan mengulas lanjut isu tersebut.

Keng Yaik yang merupakan anggota Gerakan selama 36 tahun, menyerahkan kepimpinan parti kepada Koh pada April 2007.

Beliau mengumumkan perletakan jawatan sebagai penasihat parti itu secara mendadak semalam, kerana tidak berpuas hati dengan penggantinya (Koh) yang dikatakan gagal mengambil tindakan proaktif dalam menyelesaikan banyak isu melibatkan Gerakan, walaupun telah diberi pelbagai nasihat.

Turut hadir Ketua Wanita Datuk Tan Lian Hoe, Ketua Pemuda Lim Si Pin dan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nam.

No comments

Powered by Blogger.