MCA Mahu Tindakan Segera Diambil Terhadap Pengetua Rasis

KUALA LUMPUR, 5 Okt (Bernama) -- MCA menggesa Kementerian Pelajaran dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempercepatkan tindakan terhadap dua pengetua sekolah yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman semasa perhimpunan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata MCA juga berpendapat Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Timbalan Perdana Menteri, seharusnya mempunyai kuasa membuat perakuan bahawa kedua-dua pengetua itu perlu diberi amaran kerana sikap tidak sensitif mereka.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat di Wisma MCA hari Selasa, Chua berkata masalah itu juga seharusnya diselesaikan secepat mungkin bagi mengelakkan wujud suasana tidak selesa di kalangan rakyat.

"Kalau kerajaan tidak ambil tindakan tegas dan cepat, kita khuatir ini akan menghantar mesej yang salah, yang kononnya kerajaan tidak mengambil berat isu ini," katanya.

Baru-baru ini, Muhyiddin dilaporkan sebagai berkata beliau tidak mempunyai kuasa berhubung perkara berkenaan kerana kes disiplin membabitkan pengetua di Johor dan Kedah itu sedang disiasat oleh JPA, dan hanya jabatan itu boleh mengambil tindakan terhadap mereka.

No comments

Powered by Blogger.