Ku Li Lebih Wajar Tidak Bertanding

Oleh IZMAS

CADANGAN Timbalan Presiden Umno, juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Tengku Razaliegh Hamzah (Ku Li) menjadi calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dun Galas meletakkan diri beliau dalam situasi sukar.

Beliau dianggap calon sesuai bagi BN untuk meraih kemenangan mudah berdasarkan populariti dan pengaruh beliau sebagai pemimpin yang amat dikenali di kawasan parlimen itu. Beliau merupakan Ahli Parlimen Gua Musang sejak mula pilihan raya diadakan dan amat terkenal di kalangan penduduk tempatan di situ sebagai pemimpin yang berjiwa rakyat dan banyak berjasa kepada pengundi di situ.

Cadangan Muhyiddin supaya Ku Li bertanding di Dun Galas mungkin mengambil kira faktur-faktur positif itu di samping ketokohan beliau yang sudah termashyur di seluruh negeri Kelantan. Namun, pencalonan itu meletakkan Ku Li dalam keadan serbasalah yang sudah menguji pendirian dan kesetiaan beliau sebagai ahli dan pemimpin Umno di satu pihak dengan perjuangan dan komitmen beliau yang sudah dikaitkan dengan tuntutan royalti minyak negeri Kelantan kepada kerajaan pusat yang diketuai oleh Umno di satu pihak lain.

Pemerhati politik berpendapat, jika Ku Li beliau bersedia bertanding mewakilli Umno bermaksud beliau sudah mengambil pendirian berbeza dan berlawanan dengan motif perjuangan beliau membela kerajaan negeri Kelantan dalam isu tuntutan royalti minyak itu.

Beliau tidak seharusnya bertindak demikian jika berhasrat meneruskan matlamat perjuangannya bersama kerajaan PAS negeri yang menurutnya tidak adil dan merampas hasil bumi negeri Kelantan. Jika beliau bersetuju menjadi calon Umno ia boleh dilihat sebagai menarik balik sokongannya kepada kerajaan negeri dalam isu minyak itu.

Namun, pendapat lain mendedahkan sokongan Ku Li dalam isu royalti minyak adalah pandangan peribadi beliau dan bukan pandangan Umno Kelantan. Oleh itu ia boleh berubah dan tidak semestinya menjadi pandangan kekal bagi seorang pemimpin yang sudah lama berpolitik dan terlibat kuat dalam perjaungan Umno.

Dengan perkataan lain, jika Ku Li bersedia bertanding mewakilli Umno bermakna beliau sudah menghampakan penyokong PAS dan pimpinan kerajaan negeri yang mengharapkan sokongan dan komitmen berterusan dalam isu tuntutan royalti minyak itu. Ini sekaligus boleh menimbulkan kekecewaan dan kemarahan yang mendalam di kalangan seluruh ahli PAS dan kepimpinan kerajaan negeri yang mungkin menganggap beliau sudah berpaling tadah dari perjuangannya peribadinya dalam isu itu. Dalam situasi sukar seperti ini Ku Li seolah-olah dikehendakki membuat keputusan bijak dan tepat dalam meletakkan dirinya supaya tidak dipersalahkan mana-mana pihak sama ada pemimpin Umno pusat mahupun penyokong PAS.

Penulis berpendapat andaian yang lebih adil dan terbuka bagi Ku Li dalam situasi itu adalah dengan bersetuju melibatkan dirinya sebagai pengarah pilihan raya tetapi tidak menjadi calon yang dipilih. Ini kerana dengan menjadi calon - dan diramal bakal menang mudah - beliau sudah menghampakan pemimpin PAS tentang komitmen beliau dalam isu royalti minyak Kelantan yang amat ditagih oleh seluruh rakyat dan pemimpin PAS negeri.

Dengan tidak menjadi calon BN beliau masih boleh berkhidmat kepada Umno sebagai pengarah pilihanraya yang juga mempunyai tugas besar memastikan calon yang bertanding menang. Beliau sebenarnya memikul tangggungjawab berat untuk memastikan mana-mana calon yang dipilih oleh beliau dan dipersetujui pemimpin Umno pusat boleh membawa kemenangan kepada BN.

Sekiranya calon BN tewas beliau mungkin boleh dipersalah kerana kegagalannya memimpin BN tetapi hakikat sebenar boleh dibaca sebagai sokongan pengundi di situ yang masih setia dan berterusan kepada dasar PAS dan menolak BN. Tetapi kredibiliti beliau sebagai pemimpin terutama di mata pemimin PAS tidak terjejas kerana beliau tidak bertanding dan tidak boleh dipersalah sekalipun tewas. Beliau lebih selamat jika memilih menjadi pengarah pilihanraya raya dari menjadi calon yang bertanding.

Dengan meletakakan dirinya sebagi pengarah pilihanraya, Ku LI masih boleh membuat sumbangan besar membantu siapa saja calon Umno/BN yang dipilih dengan berkempen kuat menyokong calon BN yang bertanding. Sekalipun tidak bertanding, tetapi pengaruh dan kewibaaan beliau sebagai pemimpin veteran yang terkenal dan disegani di kawasan itu boleh membantu siapa juga calon BN yang dipilih.

Bagi pihak Umno kesediaan Ku Li bertanding merupakan berita yang dinanti-nantikan. Ramai penganalsis politik bersetuju kesediaan Ku Li bertanding di Dun Galas itu bakal memberi bonus dan peluang terbaik Umno dan BN untuk merampas kembali kawasan itu dari tangan PAS berdasarkan faktur-faktur positif peribadi yang ada pada diri Ku Li yang disedari ramai pengundi parlimen Gua Musang khususnya dan negeri Kelantan umumnya.

Kerusi Dun Galas kosong berikutan kematian calon PAS, Chek Hashim Sulaima akbiat barah usus. Chek Hasim, 46 tahun, memenangi kerusi Galas yang terletak di bawah kawasan parlimen Gua Musang dengan majoriti 646 undi mengalahkan calon BN, Saufi Deraman dalam PRU Mac 2008 lalu.

Pendapat umum di kalangan pemimpin Umno menunjukkan jika tokoh terkenal dan popular seperti Ku Li bertanding di kawasan itu, BN bakal menang mudah jika dikaji dari kemenangan tipis calon PAS yang bertanding dalam PRU 12 lalu.

Kemenangan amat perlu untuk membangkitkan semangat Umno Kelantan sekaligus membuktikan dasar Najib dan gagasan 1Malaysianya sudah diterima rakyat di kawasan itu. Dan kekalahan bermakna rakyat di situ tidak bersedia menerima BN dan masih kekal setia menyokong perjuangan PAS yang diketuai Nik Aziz

Setengah pemerhati politik termasuk pemimpin PAS berpendapat, cadangan Umno mahu meletakan Ku Li sebagai calon Dun Galas sebagai percubaan membunuh karieer politik beliau. Pandangan itu didedahkan Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengakui Umno bersemangat dan berkeras untuk merampas semula kawasan itu dari PAS dengan apa cara sekalipun termasuk mencadangkan Ku Li masuk bertanding. Katanya, Ku Li bakal menjadi korban sekaligus dipinggirkan jika tewas dalam pilhan raya kecil itu.

Dengan kata lain, jika ditakdirkan Ku Li tewas dalam pilihan raya kecil itu bermakna kepopuliriti dan kewibawaan politik beliau sebagai ahli poiltik veteran yang disegani di negeri Kelantan mungkin pudar terutama dari kacamata pemimpin Umno pusat dan juga penyokong setia PAS.

Menteri Besar Kelantan juga Mursyidul PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat berpendapat, Ku Li tidak layak bertanding di Dun Galas sebagai calon ahli Dewan Undangan Negeri kerana ini merendahkan martabat beliau sebagai Ahli Parlimen dan pemimpin veteran Umno yang dihormati. Tidak kurang yang berpendapat, Muhyiddin sengaja memasang perangkap untuk meletakkan Ku Li dalam dilema besar yang bakal menguji kebijaksanaan dan pendirian beliau samada masih setia lagi kepada perjuangan Umno dengan menerima tawaran sebagai calon atau menyokong dasar PAS berdasarkan komitmen padu beliau dalam isu royalti minyak Kelantan.

Ku Li sebenarnya tidak boleh dipaksa bertanding jika itu bukan kemahuan dirinya kerana beliau sudah matang dan lebih mengetahui situasi sebenar. Ada suara sumbang berpendapat, Ku Li mungkin bersedia bertanding dengan syarat Umno menawarkan ganjaran lumayan jika menang beliau dalam pilhan raya kecil itu.

Apapun, sebenarnya Ku Li belum membuat kata putus samada mahu bertanding atau sebaliknya. Yang pasti beliau sudah bersetuju untuk menjadi pengarah pilihan raya kecil Dun Galas sebagai memenuhi permintaan Najib dan Muhyiddin seperti yang diakui Setiausaha Agung Umno, Tengku Adnan Mansor.

Beliau diberitakan tidak begitu gembira dengan spekulasi yang mengaitkan nama beliau sebagai calon di Galas kerana menurut pegawai khasnya, Mohd Lokman Ghani, Ku Li akan membuat pengumuman penting tentang perkara itu nanti selepas pulang ke tanah air dari Belfast.

IZMAS

No comments

Powered by Blogger.