Bila budak Tronoh mengaku dari Toronto…

http://syahrilkadir.files.wordpress.com/2010/10/1b1.jpg?w=470&h=328

masa aku mula-mula masuk bertugas sebagai wartawan di Utusan Malaysia dulu, kami para reporter junior ini sering diminta membantu mengendalikan ruangan Salam Perantau, ruangan yang dibuat khas untuk para pelajar atau rakyat kita yang menyambut lebaran di luar negara

Utusan buat ruangan ini percuma, tiada bayaran dikenakan

semuanya berlandaskan kejujuran, maklumlah, kalau ngaku pelajar Universiti Oxford, takkanlah kita nak telefon pejabat Hal Ehwal Pelajar Oxford nak tanya…” Hello Tuan Smith, ada tak pelajar u nama Che Mat Bin Akob, dia nak masuk ruangan Salam Perantau,”

yang nak masuk ruangan ni pula bukannya sikit, beribu!

lagipun kita tak fikir yang para pelajar universiti kita ni sanggup menipu ibu bapa, sanak saudara dan sahabat handai di kampung dengan menipu identiti mereka hanya semata-mata nak keluar dalam akhbar

prinsipnya di sini mudah, kita bagi ruangan dengan seikhlas hati, harapnya si pengirim dapat mengirimkannya dengan sejujur mungkin

tugas kami para wartawan muda ketika itu, selepas selesai tugas hakiki, kami akan buka surat yang dihantar dan menaip kembali nama pengirim beserta ucapan mereka ke dalam sistem, kerja ala-ala data entry clerk la bunyinya

kerjanya simple tapi bila sehari berpuluh surat yang diterima, kelabu jugalah biji mata dibuatnya

itupun bukan boleh claim overtime, kita pun tak merungut sebab tumpang bangga kerana at least mak bapa kat kampung dapat tengok wajah anak-anak kesayangan mereka di perantauan

dan memang aku akui, ruangan ni mendapat sambutan yang cukup hebat sehinggakan ada yang menjadikan ruangan Salam Perantau ini sebagai ‘inspirasi’ buat mereka untuk belajar bersungguh-sungguh, maklumlah semuanya teringin nak ikut jejak langkah abang dan kakak yang belajar di luar negara, dapat main salji dan sebagainya

tetapi aku cukup kecewa bila mendapat tahu ada pelajar universiti tempatan yang menggunakan kecanggihan teknologi yang ada sekarang untuk menipu dalam ruangan tersebut



Itulah yang terjadi apabila sekumpulan pelajar dari Universiti Teknologi Petronas di Tronoh, Perak mengirim gambar mereka berlatarbelakangkan sebuah taman untuk disiarkan di dalam ruangan Salam Perantauan. Gambar tersebut dipilih untuk terbitan 21 September 2010. Ketika mana umat Islam menyuci diri menjalani ibadah puasa, mereka mencuci otak untuk menipu. Menerusi ICT juga penipuan itu dijaja, kononnya mereka handal kerana dapat menipu akhbar ini. Mendabik dada kononnya mereka juga pernah melakukan penipuan yang sama kepada akhbar-akhbar lain. Malah menerusi komen di blog yang memaparkan penipuan tersebut, telah ada perancangan untuk menyambung siri penipuan pada tahun hadapan.

Penipuan itu kononnya didorong rasa meluat terhadap penuntut luar negara yang menghantar gambar mereka dengan latar belakang salji untuk disiarkan di ruangan tersebut. Selamba dan bersahaja mereka berbangga diri tidak perlu bersalji dan tidak perlu ke Toronto pun, gambar mereka disiarkan di ruang Salam Perantauan.

Saya pasti kumpulan pelajar itu masih berbangga. Membaca komen-komen di dalam blog itu ramai juga yang memuji kelicikan serta kreativiti penuntut universiti di Tronoh itu menipu akhbar tempatan. Ditambah lagi dengan komen-komen yang kononnya akhbar ini menipu. Mahu diajukan pertanyaan, adakah mereka pembaca setia akhbar ini, dan apa pula penipuan yang telah dibuat sehingga penipuan yang secara terang-terangan menjadi halal di mata mereka. Ulasan-ulasan selari itu pasti menjadikan kumpulan yang menipu berasa diri mereka hebat.

Bagaimana pula ibu-bapa, para pensyarah dan pihak penaja biasiswa mereka? Adakah mereka juga berbangga? Wakil akhbar ini ada menghubungi UTP. Dia diberitahu satu mesyuarat telah diadakan berhubung penipuan tersebut. Sambil menyebut juga betapa mereka mengharapkan penipuan itu tidak disedari oleh Utusan Malaysia. Sememangnya akhbar ini tidak sedar berlakunya penipuan. Bukan kerana merelakan diri ditipu tetapi sebaliknya didorong oleh rasa percaya dan yakin betapa tidak mungkinnya ruangan tradisi ini pun menjadi mangsa penipuan kreatif. Siapa yang dapat membezakan latar belakang gambar tersebut? Bukankah musim bunga di Toronta juga sarat dengan kehijauan sama seperti bumi Tronoh yang tidak pernah dilanda salji?

Pihak UTP ada menyebut perihal kesal dengan kejadian tersebut dan meminta maaf serta berjanji akan mengambil tindakan terhadap pelajar yang terlibat sebagai pengajaran. Saya percaya siri penipuan ini tidak akan berhenti tahun ini. Lantaran mereka yang menggunakan kreativiti otak untuk menipu akan menggunakan pelbagai cara untuk memuaskan kehendak mereka. Kumpulan ini juga tahu pihak akhbar tidak akan mampu untuk menentukan kesahihan gambar yang diemel. Untuk menghubungi universiti yang dinamakan adalah mustahil. Mustahil juga bagi pihak pengurusan universiti di luar negara mahu memberi kerjasama segera mengenal pasti gambar-gambar tersebut

Mengapakah hujah-hujah pendek akal dilontarkan oleh pelajar yang kini menuntut di peringkat universiti. Atau keterujaan untuk menipu telah membataskan akal fikiran mereka sehingga tidak boleh membezakan antara yang logik dan tidak masuk akal (NORAINI RAZAK/UTUSAN MALAYSIA)

SAK: Macam-macam ada…

[Sumber]

No comments

Powered by Blogger.