Laporan Awal Kayu Terapung Di Sungai Rajang Siap Minggu Depan

KUCHING, 10 Okt (Bernama) -- Laporan awal berhubung kesan kerosakan terhadap alam sekitar disebabkan sampah sarap berupa batang kayu yang terapung di Sungai Rajang, Sibu, siap menjelang minggu depan, kata pengawal Lembaga Sumber Asli dan Persekitaran Sarawak (NREB) Peter Sawal.

"Para pegawai NREB kini sedang mengumpulkan data berkaitan. Ia merupakan tugas berat berikutan Sungai Rajang yang begitu lebar dan panjang," katanya kepada Bernama, pada hari Ahad.

Peter menjangkakan laporan itu akan siap dalam masa sehari dua ini dan ia antara lain mengandungi sebab sebenar yang menyebabkan keadaan itu, kesan ke atas alam sekitar dan cadangan bagi mencegahnya daripada berulang lagi pada masa depan.

"Selain siasatan mengenai tahap kerosakan alam sekitar ke atas sungai itu, kita juga menyiasat kerosakan ke atas tanah melalui pengawasan dari udara dan kaji selidik di kawasan itu," katanya.

Tanpa mengulas butirannya, beliau berkata siasatan itu masih berjalan dan terpulang kepada kerajaan negeri untuk memutuskan tindakan seterusnya.

Kejadian Jumaat lepas itu merupakan mimpi ngeri bagi orang ramai kerana khidmat bot dan juga kapal kargo terpaksa ditangguhkan atau terlewat dari jadual atau perjalanan terpaksa dihentikan separuh jalan kerana jumlah batang-batang kayu yang terapung di hilir sungai terlalu banyak.

Keadaan itu semakin baik hari ini kerana sampah sarap berupa batang kayu yang terapung telah dihanyutkan ke laut.

Jumaat lepas, Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh berkata siasatan akan dijalankan bagi menentukan sebab utama kejadian itu.

Wong berkata tindakan akan diambil jika terdapat bukti kukuh bahawa ia disebabkan oleh faktor manusia.

No comments

Powered by Blogger.