Pelajar Sekolah Agama Kuala Terengganu Diserang Histeria

KUALA TERENGGANU, 10 Okt (Bernama) -- Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik di sini kecoh apabila enam pelajar perempuannya diserang histeria selepas acara perhimpunan pagi tadi.

Lima daripada pelajar terbabit merupakan pelajar Tingkatan Lima manakala seorang lagi adalah pelajar Tingkatan Dua yang sebelum ini telahpun terkena histeria pada Khamis lepas.

Difahamkan, pada Khamis lepas, dua pelajar perempuan Tingkatan Dua sekolah itu terkena histeria dan diarahkan dibawa pulang, namun kejadian sekali lagi berulang hari ini apabila seorang pelajar yang sama kembali terkena gangguan itu sebelum merebak kepada lima pelajar Tingkatan Lima.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Razali Daud berkata, sekumpulan ustaz dari Darul Syifa telah dipanggil untuk membantu memulihkan keadaan pelajar terbabit selain usaha membaca surah Yasin yang dilakukan guru-guru dan pelajar sekolah berkenaan.

"Keadaan terkawal dan setakat petang ini hanya tinggal seorang pelajar perempuan yang masih belum pulih sepenuhnya dan kita telahpun membenarkan mereka dibawa pulang oleh keluarga masing-masing," katanya ketika ditemui pemberita pada hari Ahad.

Katanya, pelajar yang terlibat dibenarkan bercuti sehingga keadaan masing-masing kembali pulih.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada kejadian berpunca daripada gangguan makhluk halus atau tekanan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar berkenaan.

Sementara itu semasa tinjaun dilakukan kedengaran bacaan Yasin dari salah sebuah bilik darjah di mana seorang pelajar perempuan yang masih pulih daripada gangguan itu ditempatkan.

Pelajar terbabit yang merupakan salah seorang pelajar harapan sekolah untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia nanti kemudian kelihatan dibawa pulang oleh ahli keluarganya Kira-kira 2.30 petang.

No comments

Powered by Blogger.