PAS Tidak Pandang Ringan Pilihan Raya Kecil DUN Galas

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- PAS meramalkan 48 peratus peluang baginya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Galas di Gua Musang berbanding 52 peratus bagi Barisan Nasional pada pilihan raya kecil yang ditetapkan pada 4 Nov depan.

Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali berkata Pas tidak memandang ringan pertandingan bagi pilihan raya kecil itu kerana menganggap kawasan itu sebagai kubu kuat Umno.

"Kita tidak melihat mudah (pilihan raya ini) kerana kita penyandang. Sebab itu kalau kita kalah tentulah ada sikit terjejas walaupun dia tidak mengubah kerajaan," katanya pada sidang akhbar di pejabat PAS Pusat di sini.

Mengenai Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah yang sebelum ini disebut-sebut sebagai calon BN untuk pilihan raya kecil itu, beliau percaya pemimpin itu tidak akan menerima tawaran berkenaan.

"Saya tak fikir dia akan terima jadi calon sebab dia Anggota Parlimen. Buat apa nak jadi calon ADUN. Kalau menang jadi ADUN biasa. Saya rasa dia ada pertimbangan sendiri," katanya.

Mengenai calon PAS pula, beliau berkata parti itu dijangka bermesyuarat minggu depan untuk membincangkan perkara itu selepas menerima senarai calon daripada PAS Kelantan.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian wakil rakyatnya dari PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, pada 27 Sept lepas. Penamaan calon ditetapkan pada 26 Okt.

No comments

Powered by Blogger.