Mustapa: BN Tidak Gentar Siapa Pun Calon Lawan Di Galas

Oleh Zakaria Abdul Wahab

SINGAPURA, 7 Okt (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) tidak gentar dan bersiap sedia untuk menghadapi sesiapa pun calon yang akan diletakkan oleh parti lawan dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri kawasan Galas di Kelantan pada 4 November ini.

Ketua Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata:" yang pasti ialah kita akan meletakkan calon yang terbaik yang boleh membawa kemenangan kepada BN di Galas."

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata demikian di sini apabila diminta mengulas oleh pemberita Malaysia mengenai kenyataan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan II Datuk Husam Musa di Kota Baharu semalam tentang ura-ura parti itu hendak meletakkan Orang Asli sebagai calonnya bagi pilihanraya kecil itu.

Mustapa berada di sini kerana menghadiri dan menyampaikan ucapan utama di persidangan dua hari "Global Entrepolis@Singapore 2010 yang dihadiri kira-kira 600 pemimpin perniagaan tempatan dan antarabangsa di Pusat Persidangan Bandaraya Raffles yang bermula Khamis.

Mustapa juga berkata beliau akan berjumpa dengan Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO dan BN pada pilihan raya kecil itu, dalam tempoh terdekat ini untuk berbincang bagi merangka program-program yang akan dilaksanakan semasa kempen pilihanraya kecil itu.

Mengenai siapa calon BN yang akan diletakkan pada pilihan raya kecil Galas itu, Mustapa berkata adalah terlalu awal untuk menjangkakan calonnya.

Mustapa yang juga Timbalan Pengarah Pilihan raya UMNO dan BN pada pilihan raya itu menggesa supaya semua pihak jangan terlalu ghairah untuk membuat spekulasi.

Kerusi kawasan Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, dari parti PAS, pada 27 Sept lepas.

Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia di Kuala Lumpur pada Rabu juga telah menetapkan hari penamaan calon bagi pilihan raya kecil itu ialah pada 26 Okt ini dan pengundian pada 4 Nov.

No comments

Powered by Blogger.