Semua janji BN di Manik Urai sudah ditunai, kata Kesedar

GUA MUSANG, 7 Okt – Semua projek pembangunan yang dijanjikan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kuala Krai, sebelum ini telah dilaksanakan.

Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Mohd Arshad Ismail berkata sebagai agensi pemantauan bersama-sama dengan Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPPK) beliau bagi pihak kerajaan pusat menegaskan tidak timbul isu kegagalan kerajaan BN menunaikan janjinya yang dibuat dalam pilihan raya kecil itu tahun lalu.

“Sebagai agensi pelaksana, saya dapat mengesahkan semua projek pembangunan yang dijanjikan oleh kerajaan pusat pada pilihan raya kecil itu telah dilaksanakan, meskipun berlaku sedikit kelambatan kerana masalah teknikal,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Mohd Arshad berkata, antara projek yang dijanjikan oleh pemimpin Kerajaan Pusat, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri di kawasan itu yang melibatkan kos berjuta-juta ringgit, telah dilaksanakan.

Ini termasuk pembinaan jambatan di Kampung Manik Urai, Masjid Temalir bernilai RM600,000, membaik pulih rumah (RM1.5 juta) dan membina gelanggang sukan di Kampung Manjor (RM300,000).

“Cuma projek jambatan mengalami kelambatan kerana melibatkan kenaikan kos dari RM8 juta kepada RM17 juta yang menyebabkan berlaku masalah teknikal, seperti reka bentuk dan pengambilan balik tanah.

“Bagaimanapun, semua projek membaik pulih rumah penduduk miskin yang melibatkan kos RM1.5 juta sudah siap dilaksanakan empat bulan selepas pilihan raya itu,” kata Mohd Arshad.

Beliau mengulas mengenai rungutan sesetengah pihak kononnya semua projek yang dijanjikan semasa kempen pilihan raya kecil DUN itu tahun lalu tidak dilaksanakan.

“Oleh itu, tidak timbul isu kerajaan Pusat gagal menunaikan janjinya dalam melaksanakan projek pembangunan semasa pilihan raya DUN Manik Urai, seperti yang digembar-gemnburkan pihak tertentu,” katanya.

Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan penamaan calon bagi pilihan raya itu akan diadakan pada 26 Oktober, dan jika ada pertandingan pilihan raya ditetapkan pada 4 November.

Kerusi kawasan Galas kosong berikutan kematian wakil rakyat dari Pas, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus, bulan lepas. – Bernama

No comments

Powered by Blogger.