Pelajar UKM fail injunksi digugur terima anugerah dekan

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Salah seorang daripada empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang gagal dalam permohonan injunksi erinford kelmarin, digugurkan daripada menerima anugerah dekan hari ini, dipercayai tindakan disiplin dikenakan ke atas mereka.

Pelajar tahun ketiga jurusan sains politik, Woon King Chai berkata, namanya telah dilarang daripada anugerah yang dijadual untuk disampaikan pada satu majlis Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, petang ini.

“Semalam saya menerima panggilan telefon memaklumkan bahawa saya tidak boleh menghadiri majlis hari ini untuk menerima anugerah dekan,” katanya.

“Apabila saya mengesahkan dengan Penolong Pendaftar fakulti, mereka mengesahkan nama saya telah dikeluarkan daripada senarai penerima hari ini atas alasan nasihat bahagian undang-undang,” kata Wong kepada The Malaysian Insider pagi ini.

“Kini saya dilarang dan status saya ialah ‘KIV’,” katanya.

Wong sebahagian daripada, dipercayai kira-kira 40 pelajar, yang layak menerima anugerah dekan hari ini.

Anugerah dekan diberikan kepada penuntut-penuntut yang memperoleh prestasi akademik CGPA 3.6 ke atas.

Wong, penuntut semester kelima memberitahu dia sudah tiga kali menerima sebelum dan anugerah terbaru ini membabitkan semester pengajian keempat yang lepas.

“Sepatutnya sebagai sebuah universiti, mereka seharusnya memisahkan antara isu akademik dan kes mahkamah. Malangnya mereka tidak berbuat demikian,” kata Wong sambil menambah, permohonan injunksi masih di peringkat rayuan.

“Saya merasakan tindakan UKM tidak adil... saya tidak tahu apa yang patut yang lakukan,” kata Wong yang juga Pengerusi Kelab Mahasiswa Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategik UKM.

Katanya, lazimnya pengetusi kelab-kelab mahasiswa juga dijemput, tetapi mereka tidak “mengundang saya selaku ketua kelab.”

Ekoran keputusan kelmarin Wong dan tiga pelajar jurusan sains politik bakal berhadapan dengan tindakan tatatertib yang akan didengar oleh Mahkamah UKM.

Mereka mengemukakan permohonan injunksi erinford mereka bagi menghalang universiti itu berbuat demikian.

Keempat-empat penuntut itu didakwa terbabit dalam kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor pada April lepas.

Injuksi erinford bermaksud status quo dikekalkan sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.

Pada 1 Jun lepas, Muhammad Hilman Idham, 21, Woon, 22, Muhammad

Ismail Aminuddin, 22, dan Azlin Shafina Mohamad Adzha memfailkan saman pemula terhadap kerajaan, Kementerian Pengajian Tinggi dan UKM, untuk mencabar tindakan universiti itu terhadap mereka.

Dalam saman berkenaan, semua penuntut itu mendakwa UKM, melalui surat bertarikh 13 Mei, meminta mereka hadir di universiti berkenaan untuk menjawab pertuduhan terhadap mereka, dan sekiranya mereka gagal berbuat demikian atau tidak menghantar representasi secara bertulis dalam tempoh 14 hari, maka pengajian mereka akan digantung serta-merta.

Mereka yang merupakan penuntut tahun kedua jurusan sains politik, mendakwa tindakan tatatertib yang dikenakan oleh universiti itu bagi kesalahan mengikut Seksyen 15(5)(a) Akta Universiti dan Kolej Universiti, adalah tidak berasas dan tidak sah di sisi undang-undang.

No comments

Powered by Blogger.