Pemilihan PKR: Deposit pencalonan harus dinaikkan

Oleh Nazli Ibrahim

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan akan mencadangkan wang deposit untuk calon bertanding dalam pemilihan parti akan datang dinaikkan kepada jumlah yang lebih munasabah.

Demikian beritahu Naib Pengerusi PKR WP yang juga calon bagi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Azman Abidin kepada FMT baru-baru ini.

Menurut beliau, wang deposit yang rendah untuk pencalonan jawatan-jawatan dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) harus dinaikan agar calon lebih komited untuk bertanding dan juga terhadap tanggungjawab apabila memenangi jawatan yang ditandingi
mereka.

Kata beliau lagi, jumlah deposit yang telalu rendah pada masa ini telah memudahkan mereka yang tidak komited terhadap parti untuk menawarkan diri untuk bertanding.

"Pada masa ini seseorang yang mahu bertanding sebagai ketua cabang contohnya, hanya perlu membayar deposit RM20 sahaja sedangkan tanggungjawab ketua cabang amatlah besar, bertanggungjawab terhadap sebuah parlimen yang jumlah pengundinya lebih 50,000 pengundi.

Menyusahkan proses demokrasi

"Dengan jumlah RM20 ini, sesiapa pun boleh bertanding. "Dapat pencalonan dan bayar RM20, dah boleh bertanding. Ini menyusahkan proses demokrasi apabila wujud calon-calon yang tidak serius dan mungkin mempunyai agenda lain.

"Sekurang-kurangnya deposit yang patut dikenakan bagi yang berminat untuk dicalonkan sebagai ketua cabang hendaklah tidak kurang RM1,000. Dalam konteks ini, kita hendak melihat komitmen mereka sebenarnya, bukanlah kerana duit," kata beliau.

Menurut beliau lagi, atas alasan itu juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenakan deposit sehingga RM15,000 bagi calon bertanding kerusi parlimen untuk menyukarkan mana-mana pihak yang tidak komited menawarkan diri bertanding dan menyusahkan proses demokrasi.

"Jika mana-mana calon yang menerima undian yang tidak mencukupi kouta yang ditetapkan, maka wang deposit mereka hangus.

"Kalau kita lihat ketika pemilihan peringkat cabang baru-baru ini, ada calon ketua cabang yang hanya memperolehi sekadar 5-20 undian sahaja dan ini menyusahkan proses pemilihan.

Wang deposit dikembalikan

"Kalau calon yang kalah tersebut menerima undian yang tinggi, wang deposit ini dikembalikan semula kerana ia menunjukkan calon tersebut juga popular di situ walaupun tewas," kata beliau lagi.

Bagaimanapun beliau tidak menyalahkan seketariat pemilihan parti, sebaliknya keseluruhan parti yang tidak menyedari akan masalah ini berikutan kali pertama parti mengadakan pemilihan dengan sistem satu ahli satu undi ini.

Melalui usul yang bakal dibawa oleh PKR WP nanti, beliau percaya masalah ini boleh diperbaiki dalam pemilihan yang akan datang.

Selain menjawat jawatan Naib Pengerusi PKR WP, Azman juga telah memenangi jawatan Ketua Cabang Bandar Tun Razak tanpa bertanding semenjak tahun 2003 dan tercalon sebagai Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

Beliau juga dianggap salah seorang calon popular dari Kuala Lumpur untuk jawatan MPP berikutan kemampuan beliau menyapu bersih pencalonan-pencalonan dari cabang-cabang di sini.

No comments

Powered by Blogger.