Shamsul ‘di upah’ pertahan ketua AMK?

Oleh Mat Zahari Ali

PETALING JAYA: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin akan mempertahankan jawatan beliau walaupun sebelum ini menghebahkan akan bertanding untuk jawatan Naib Presiden.

"Saya rela dan bersedia mengadapi persepsi buruk media dan penganalisa politik kesan dari tindakan saya ini," jelas beliau ketika dihubungi hari ini.

Tindakan Shamsul agak mengejutkan kerana keputusan dibuat selepas dua hari Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard mengumumkan bertanding.

Sebelum ini pertembungan untuk Ketua AMK dijangka tiga penjuru yang melibatkan Rafizi Ramli, Hasmi Hashim dan Badrul Hisham.

"Saya bukan di upah untuk melawan Che Gu Bad atau di suruh oleh sesiapa dan jauh sekali saya di beli oleh seseorang untuk bertanding Ketua AMK.

"Persepsi semata-mata"

"Saya tahu ramai yang menuduh demikian tetapi itu merupakan persepsi semata-mata," jelas beliau yang memberikan kenyataan eksklusif kepada FMT.

Beliau yang juga Pengerusi PKR Melaka berkata strategi beliau adalah untuk memenangi pertandingan dan bukan sekadar merebut jawatan tinggi tetapi kalah dalam pertandingan.

Selepas tamat sesi pertama pencalonan yang berakhir 3 Oktober lalu, Shamsul memperoleh 65 pencalonan untuk jawatan Naib Presiden dan 38 pencalonan Ketua AMK.

Ditanya mengenai tindakan tidak bertanding merebut jawatan Naib Presiden walaupun mendapat pencalonan kedua terbanyak Shamsul berkata beliau telah berbincang secara teliti berhubung kedudukan tersebut.

Katanya, pencalonan untuk Naib Presiden terlalu ramai sehingga mencecah 30 calon atau lebih. Ini akan memberi ruang yang amat sedikit kepada beliau untuk menang.

"Saya dapat maklumat Tian Chua akan bertanding menggantikan Dr Lee Boon Chye dan undi kaum Cina akan memihak kepada Tian.

Manikavasagam juga akan turut serta dan undi kaum India juga akan memihak kepada beliau.

‘Manakala undi wanita sudah tentu akan memihak kepada Fuziah Salleh yang memperoleh pencalonan terbanyak untuk jawatan ini." jelas beliau.

Selain itu menurut Shamsul, pencalonan dari cabang Selangor yang merupakan saluran pengundi Melayu paling ramai juga tidak memihak kepada beliau iaitu sebanyak empat pencalonan sahaja.

Anwar tiada halangan

Ditanya mengenai apakah beliau telah memaklumkan kepada Ketua Umum, Anwar Ibrahim untuk bertanding mempertahankan jawatan, beliau berkata Anwar tidak memberi sebarang halangan.

Shamsul dijangka akan mengadakan sidang media petang ini bagi mengumumkan keputusan beliau mempertahankan jawatan.

Sementara itu untuk jawatan Naib Presiden setiap ahli layak untuk mengundi memilih empat calon manakala untuk jawatan Ketua AMK hanya satu pilihan.

Dalam kenyataan eksklusif dengan FMT, Shamsul enggan mengulas gadingan Timbalan beliau serta akan mengumumkannya dalam sidang media nanti.

Pada 13 Oktober lalu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Badrul Hisham Shaharin mengumumkan akan bertanding Ketua AMK dan menamakan Adun Teja, Chang Lih Kang sebagai gandingan Timbalan beliau.

No comments

Powered by Blogger.