Si ‘pelesit’ itu mesti dinyahkan

Oleh - Abd Jalil Ali

Kemalangan ngeri pada waktu senja di KM 223 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat itu melibatkan dua bas, dua kereta dan satu van. Sebuah bas ekspres dari arah Melaka yang dikatakan hilang kawalan telah merempuh pembahagi jalan, lalu masuk ke lorong bertentangan, dan bertembung dengan kenderaan-kenderaan lain.

Akibatnya 12 maut, berpuluh lagi cedera. Selain mayat bergelimpangan di atas jalan raya, kelihatan juga kereta yang remuk sama sekali, badan bas menghempap kereta, dan darah yang masih merah bertompok-tompok di sana-sini.


Fakta paling menyayat ialah 12 mangsa tidak berdosa, termasuk wanita, yang terkorban secara tiba-tiba. Hasrat dan hajat mereka tidak tertunai. Tentu sekali ini menjadi tangisan kaum keluarga dan sanak-saudara. Orang yang ditunggu kepulangannya dengan penuh harapan, tiba-tiba maut dalam keadaan mengerikan.

Dan, fakta yang paling menyakitkan hati semua orang ialah pihak berkuasa masih amat lembap bertindak untuk perkara-perkara seperti ini. Sebenarnya apa yang terjadi pada tarikh 10/10/10 (sesetengah orang terlalu percaya pada tuah atau sial angka-angka tertentu!), bukan luar biasa sangat.

Cerita-cerita darah dan air mata di lebuh raya bukan lagi luar biasa. Sebelum ini sudah beratus kemalangan jalan raya melibatkan bas ekspres yang dipandu tidak mengikut peraturan keselamatan. Sudah beratus – mungkin beribu – nyawa pengguna jalan raya melayang akibat pemandu bas ekspres yang cuai.

Mereka yang biasa memandu jauh menggunakan lebuh raya pasti akan terserempak dengan bas-bas ekspres – juga lori-lori besar! – yang menekan minyak tanpa menghiraukan had laju. Betapa kenderaan-kenderaan besar ini yang telah ditetapkan had laju 90kmj, telah memecut lebih dari yang dibenarkan.

Mereka menekan hon untuk meminta laluan dari kenderaan yang bergerak mengikut undang-undang. Mentang-mentang mereka besar, mereka tidak menghiraukan kenderaan kecil dan memecut bagaikan kereta api peluru @ ‘bullet train’ di Jepun. Mereka memotong ikut suka, seolah-olah lebuh raya hanya milik mereka.

Selalu saya berasa hairan apakah kelajuan bas-bas ekspres itu tidak boleh dikesan oleh kamera-kamera trafik yang dipasang sepanjang lebuh raya? Apakah kamera trafik dan saman ekor hanya untuk pemandu kerdil seperti saya? Atau, apakah bas-bas ekspres kita dilengkapkan dengan alat yang lebih canggih untuk mengesan kamera trafik?

Menjadi kebiasaan setiap kali ada tragedi besar lebuh raya, badan penyiasat khas akan ditubuhkan. Kemudian terbongkarlah macam-macam kalut-malut dalam industri pengangkutan awam, khasnya bas ekspres kita. Antara yang telah dibongkar sebelum ini ialah perihal sebuah syarikat bas ekspres yang telah beratus kali menerima kompaun, tetapi tidak dilangsaikan.

Ada syarikat bas ekspres yang dikesan melakukan beratus kesalahan trafik, saman telah dikeluarkan tetapi pihak syarikat tidak mempedulikannya. Ada syarikat ekspres yang menggunakan pemandu yang telah disahkan sebagai penagih. Ada pemandu bas ekspres yang telah disenaraihitamkan tetapi masih memandu bas. Ada pemandu bas ekspres yang mengantuk sebab memandu berterusan lebih 16 jam. Malah, ada sekian ramai pemandu bas ekspres yang mengaku telah menjadi ‘pelesit’ jalan raya.

Persoalannya: apakah yang telah dilakukan oleh pihak berkuasa, khasnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis, untuk menghukum pesalah dan pelesit jalanan ini? Apakah syarikat ekspres yang menerima beratus kompaun dan saman itu sudah ditarik permitnya? Atau, apakah setelah bayaran kompaun dibuat, syarikat itu dikira telah bersih sehingga tidak ada sebarang tindakan susulan dilakukan?

Sudahkan pihak berkuasa mengadakan pemeriksaan dan ujian menyeluruh ke atas pemandu bas ekspres untuk memastikan penagih dan orang gila tidak menjadi pemandu bas ekspres kita? Tindakan tegas – termasuk menarik permit, menggantung lesen – hendaklah dikenakan ke atas mana-mana syarikat ekspres yang melakukan kesalahan dan kecuaian. Mereka sebenarnya pembunuh secara tidak langsung. Mana boleh orang-orang ini dilepaskan begitu sahaja?

Sekiranya tindakan tegas tidak dilakukan orang ramai akan membuat berbagai andaian. Salah satu persepsi popular sekarang ialah sekiranya syarikat ekspres tidak dikenakan sebarang tindakan walaupun berulang kali melakukan kesalahan, pasti ada ‘orang besar’ atau orang politik di belakang syarikat ekspres tersebut. Persepsi ini tidak semestinya betul, tetapi ia perlu diperbetulkan. Tidak kira orang biasa, orang kecil, orang besar, orang politik, kalau buat salah mereka patut dihukum.

No comments

Powered by Blogger.