SM Goh: Kehilangan bukan sahaja bagi MM Lee, bahkan Singapura

CIK Kwa Geok Choo sering dikenang sebagai seorang yang banyak membantu menerusi kepakaran guamannya.

Dalam kawat takziah Menteri Kanan Goh Chok Tong kepada Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew, Encik Goh berkata mendiang banyak membimbing isterinya, Cik Tan Choo Leng, semasa beliau mula bertugas sebagai peguam di syarikat guaman Lee & Lee dahulu.

Syarikat itu ditubuhkan Encik Lee, isteri dan adiknya, mendiang Encik Lee Kim Yew, dalam 1955.

Sementara itu, Menteri Kanan, Profesor S. Jayakumar, juga mendedahkan beliau pernah mendapatkan bantuan mendiang apabila diugut saman semasa menuntut di Universiti Singapura dahulu.

Menurutnya, mendiang sempat menenangkannya dan teman-teman lain apabila meneliti fakta perkara itu.

Menurut Encik Goh lagi, Cik Kwa juga diingati sebagai seorang yang peramah dan pintar.

Dalam kawatnya itu, Encik Goh juga menyebut tiga aspek mendiang yang amat beliau kagumi - sebagai tunggak utama Encik Lee, menyumbang kepada politik negara apabila beliau mendaftarkan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dengan Pendaftar Pertubuhan dan melakarkan Persetujuan Air antara Singapura dengan Malaysia dan sebagai ibu yang menyampaikan nilai-nilai cemerlang kepada keluarganya.

'Pemergian Cik Kwa bukan kehilangan anda seorang tetapi juga buat diri kami dan Singapura,' ujar Encik Goh.

No comments

Powered by Blogger.