"Taib bina istana di awang-awang" – DAP Sarawak

Oleh Joseph Tawie

KUCHING: Matlamat Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) untuk meningkat lima kali ganda pendapatan rakyat menjelang 2030 umpama "membina istana di awang-awang."

Berdasarkan statistik, pendapatan kasar nasional (GNI) per kapita ialah sebanyak RM23,000 setahun.

Ini bermakna pendapatan purata setiap rakyat Malaysia ialah RM23,000 setahun, iaitu, RM2,000 sebulan," kata Setiausaha DAP Sarawak, Chong Chieng Jen.

Chong mengulas unjuran yang dibuat oleh Ketua Menteri Abdul Taib Mahmud bahawa rakyat Sarawak boleh memperolehi lima kali ganda dari jumlah pendapatan sekarang ini menjelang tahun 2030.

"Taib sedang membina istana di awang-awang," kata Chong, yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching.

"Untuk setiap isi rumah yang mengandungi lima orang anak dan dua orang dewasa yang boleh bekerja, jika kita ambil kadar purata, ini bermakna RM10,000, mengikut per kapita GNI.

"Kebanyakan keluarga di Sarawak tidak menerima pendapatan sebanyak itu. Masalah ekonomi terletak kepada pengagihan kekayaan yang tidak sama rata.

"Terdapat jurang yang sangat luas di antara golongan kaya dan miskin," katanya, menambah statistik menunjukkan bahawa 10% dari golongan berpendapatan tertinggi di negeri ini menguasai 50% dari pendapatan negara manakala 40% dari golongan pekerja menguasai hanya 13.5% dari pendapatan nasional.

"Jurang perbezaan ini sangat luas. Sebab itulah saya fikir kenapa pengagihan kekayaan menjadi salah satu masalah ekonomi kita. Ini tidak ditangani oleh ETP," tambah Chong.

Amalan rasuah dilupakan

Faktor lain yang dengan mudah dilupakan ialah amalan rasuah tidak diambil kira katanya, menambah bahawa ketika Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri beliau menyatakan rasuah merupakan musuh utama.

Abdullah gagal dalam usaha untuk memerangi rasuah, yang membantut pembangunan ekonomi dan berlakunya ketirisan dalam peruntukan dana kerajaan.

"Dan dalam ETP, (Perdana Menteri) Najib (Tun Razak) tidak menyebut perkara ini dan bagaimana beliau boleh memerangi rasuah dengan berkesan.

"Tanpa menangani kedua-dua masalah ini, akhirnya, orang kaya bertambah, yang miskin bertambah miskin.

"Dan kekayaan negara kita akan terus dikuasai oleh segelintir rakyat sahaja," tambah Chong.

No comments

Powered by Blogger.