Khalid kecewa politik ‘kotor’ dalam PKR

PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini mengkritik permainan politik kotor yang dilakukan ahli dan pemimpin PKR sendiri sepanjang berkempen merebut jawatan dalam parti itu.

Menurut beliau, baginya, amalan sebegitu bertentangan dengan semangat parti dan hanya menimbulkan kebencian rakyat terhadap parti pembangkang itu.

Ujar beliau, "saya sedih dengan taktik kotor sepanjang berkempen dan kejadian memalukan ketika pemilihan peringkat Cabang yang bercanggah dengan semangat tulen parti Keadilan.

"Pada pemikiran saya, pemimpin Keadilan mesti menjauhi tradisi lama politik kotor yang menimbulkan kebencian rakyat kepada parti lawan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemimpin PKR perlu menggunakan peluang dan kelebihan sistem pilihan raya ‘satu ahli, satu undi di peringkat akar umbi itu dengan membentuk satu corak politik baru yang lebih rasional dan profesional.

"Kepimpinan berpuak dan serangan peribadi adalah tradisi politik lama yang perlu ditinggalkan," kata Khalid yang berjaya mempertahankan jawatan Ketua PKR Cabang Kuala Selangor Ahad lalu.

Dapat ‘restu’ Anwar sebelum umum

Khalid turut mengulangi pendiriannya menangguhkan pengumuman hasratnya bertanding jawatan tertinggi dalam parti kepada Ahad ini walaupun mendakwa sudah mendapat ‘restu’ daripada Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau turut menegaskan keputusannya itu adalah untuk menaikkan semangat Reformasi dalam Keadilan yang telah dibina atas dasar hormat-menghormati serta toleransi.

"Selepas perbincangan ringkas, kami bersetuju untuk membuat pengumuman jawatan yang akan ditandingi hanya selepas saudara Anwar Ibrahim pulang ke tanah air pada 10 Oktober ini.

"Ini adalah bagi mengelakkan spekulasi tidak sihat dan persepsi negatif di kalangan ahli parti yang akan digunakan musuh untuk menyerang parti.

"Saya juga akan berusaha mengadakan perbincangan (musyawarah) dengan pemimpin tertinggi parti dan juga pemimpin Pakatan Rakyat sebelum membuat pengumuman.

"Saya amat berharap pemimpin-pemimpin lain akan turut bersama menyertai saya dalam mencapai matlamat ini," katanya.

http://freemalaysiatoday.com/bahasa/?p=8745

No comments

Powered by Blogger.