Tan Sri Khalid Nafi Tarik Diri Kerana Tekanan

PELABUHAN KLANG, 17 Okt – Tindakan menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti KEADILAN, bukan berpunca daripada tekanan kepimpinan tertinggi parti, nafi Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Malah, Khalid turut menafikan tidak mendapat sokongan padu daripada KEADILAN Selangor.

Sebaliknya kata beliau, keputusan itu dibuat kerana mahu menumpukan sepenuhperhatian kepada pentadbiran kerajaan negeri, demi memastikan penguasaan pakatan pembangkang di negeri tersebut pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Saya tidak tahulah (mengenai kurang sokongan) tetapi ramai penyokong saya suruh buat perkara ini (bertanding) dan kita dapat sokongan yang sangat mantap. Bagaimanapun adalah perlu sebagai pemimpin kita ambil keputusan yang pentinguntuk parti dan Pakatan Rakyat(Pakatan),” katanya seperti yang dilapor Bernama hari ini.

Pada 10 Okt lepas, Abdul Khalid yang juga Ketua Cabang KEADILAN Kuala Selangor, menawarkan diri untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti yang dijadual bulan depan.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata, keputusan menarik diri juga dibuat berasaskan penemuan jawatankuasa khas yang ditubuhkannya untuk menilai kesan yang akan timbul kepada pentadbiran dan perpaduan parti sekiranya beliau bertanding.

“Kesimpulannya mereka berkata, mereka perlukan saya dari segi pembangunan di Selangor dan tidak perlu saya jadi timbalan presiden buat masa sekarang,” katanya.

Abdul Khalid berkata, beliau juga mahu memastikan penglibatan aktif Selangor dalam projek ‘Greater Kuala Lumpur’ yang diumumkan Perdana Menteri pada pembentangan Bajet 2011.

Ditanya sama ada pengunduran beliau itu akan memberi ruang kepada Azmin untuk menerima sokongan penuh daripada KEADILAN Selangor, Abdul Khalid berkata,”Saya tidak pasti.”

Abdul Khalid sebelum itu menyampaikan bantuan pembangunan pendidikan Sekolah jenis Kebangsaan Cina Fasa II Negeri Selangor berjumlah RM3 juta.

Semalam, hanya tiga calon iaitu dua Naib Presiden — Azmin Ali dan Mustaffa Kamil Ayub — serta Ketua PKR Wilayah Persekutuan Datuk Zaid Ibrahim mengesahkan bertanding jawatan tersebut apabila tempoh penerimaan pencalonan berakhir pada pukul 6 petang.

Pemilihan bagi jawatan tertinggi PKR akan berlangsung dari 31 Okt hingga 21 Nov, manakala kongres kebangsaan parti bermula pada 26 sehingga 28 Nov.

No comments

Powered by Blogger.