Tengku Razaleigh Tak Jatuh Darjat Jika Jadi Calon Galas - Nazri

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Cadangan untuk menamakan anggota Parlimen Gua Musang Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Kelantan tidak akan menjatuhkan darjatnya sebagai kerabat raja.

Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sebaliknya ia memberi penghormatan yang besar kepada veteran Umno itu kerana dapat mewakili rakyat.

"Sebagai seorang ahli Umno dan Majlis Tertinggi Umno, saya sokong kalau Tengku Razaleigh bukan sahaja bersetuju jadi pengarah pilihan raya BN, tetapi juga menjadi calon.

"Tak ada soal darjat. Saya tidak merasa hina kalau kita menawar diri mewakili rakyat.

"Pada saya, Tengku Razaleigh tidak akan merasa hina kerana mewakili rakyat kerana itu adalah satu penghargaan yang paling tinggi yang boleh rakyat beri kepada kita," katanya kepada pemberita selepas melawat Terminal Bas Bersepadu Selatan di Bandar Tasik Selatan di sini, hari Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa cadangan itu sebagai merendahkan darjat Tengku Razaleigh sebagai seorang pemimpin veteran bertanding di peringkat DUN.

Kerusi DUN Galas itu kosong berikutan kematian wakil rakyatnya daripada PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, akibat barah usus pada 27 Sept lalu.

Mohamed Nazri yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata dalam keadaan sekarang, adalah penting bagi Umno dan BN memastikan kemenangan berpihak kepadanya.

"Dalam politik, kita nak menang dan begitu juga dengan parti pembangkang. Tak ada yang masuk bertanding (pilihan raya) nak kalah. Itu politik gila namanya.

"Kita merasakan Tengku Razaleigh pemimpin yang boleh dapat sokongan padu bukan sahaja dari Umno tetapi juga dari rakyat dan kita nak menang," katanya.

Hari ini, Setiausaha Agung BN yang juga Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan berkata Tengku Razaleigh bersetuju untuk menjadi pengarah pilihan raya BN pada pilihan raya kecil Galas.

musim pilihanraya- dulu kaca kini permata. kesian

No comments

Powered by Blogger.