Tindakan Tatatertib Bakal Dikenakan Ke Atas Empat Pelajar

KUALA LUMPUR, 13 Okt – Empat penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bakal berhadapan dengan tindakan tatatertib apabila Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi erinford mereka bagi menghalang universiti itu berbuat demikian.

Keempat-empat penuntut itu didakwa terbabit dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Hulu Selangor pada April lepas.

Hakim Datuk Aziah Ali membuat keputusan itu dalam kamar dengan dihadiri peguam Haris Ibrahim yang mewakili penuntut berkenaan, Peguam Kanan Persekutuan Aida Adha Abu Bakar bagi pihak Kerajaan Malaysia dan Menteri Pengajian Tinggi, manakala UKM diwakili peguam Sarah Abishigam.

Kata Haris seperti yang dilapor Bernama, Aziah turut mengekalkan perintah kos guaman yang perlu ditanggung oleh kesemua penuntut terbabit sebagaimana keputusannya pada 28 Sept lalu, berkaitan kes sama.

Pada 7 Okt lepas, ketika berhujah untuk pendengaran permohonan injuksi itu, peguam Malik Imtiaz Sarwar yang turut mewakili semua pelajar berkenaan, memohon supaya mahkamah tidak menetapkan sebarang kos memandangkan pemohon terdiri daripada golongan yang masih menuntut.

Injuksi erinford bermaksud, status quo dikekalkan sehingga rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.

Pada 1 Jun lepas, Muhammad Hilman Idham, 21, Woon King Chai, 22, Muhammad Ismail Aminuddin, 22, dan Azlin Shafina Mohamad Adzha memfailkan saman pemula terhadap kerajaan, Kementerian Pengajian Tinggi dan UKM, untuk mencabar tindakan
universiti itu terhadap mereka.

No comments

Powered by Blogger.