Tsu Koon lesu… — Awang Selamat

10 OKT — Keputusan Tun Dr Lim Keng Yaik melepaskan jawatannya sebagai penasihat Gerakan menarik perhatian ramai. Suhu politik dalam parti itu tiba-tiba naik mendadak. Apatah lagi alasan yang diberikan oleh Keng Yaik adalah kerana beliau kecewa dengan kepimpinan Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon yang gagal menangani masalah dalaman parti itu.

Keng Yaik menyerahkan jawatan kepada Tsu Koon pada April 2007. Beliau kemudian dilantik sebagai penasihat. Menurut Keng Yaik, beliau kerap menasihati penggantinya itu namun tidak diendahkan. Antara nasihat beliau ialah agar bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak menjauhi diri daripada masalah dan menangani masalah dengan baik.

Bukan setakat Keng Yaik sahaja yang kecewa, khabarnya ramai lagi termasuk pemimpin komponen BN di Pulau Pinang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Tsu Koon. Di bawah kepimpinan beliau, Pulau Pinang bukan sahaja terlepas daripada cengkaman BN malah Gerakan kini seakan lumpuh.

Tsu Koon boleh memberikan apa sahaja alasan dan jawapan tetapi realiti di akar umbi menceritakan segala-galanya. Banyak petunjuk menampakkan parti itu seperti menyerah kalah dan tidak berusaha untuk bangkit. Sikap sedemikian seolah-olah sengaja mahu memberi laluan mudah kepada DAP pada pilihan raya akan datang.

Walaupun diakui bahawa DAP semakin mengukuhkan kedudukan dan pengaruhnya di kalangan pengundi Cina, apakah Gerakan mahu terus tunduk begitu sahaja. Janganlah mengikut rentak DAP asyik menuding jari menjadikan pihak lain sebagai sasaran. Sedangkan beliau sendiri gagal memberikan impak. Awang berharap Tsu Koon dapat segera bertindak mengatasi masalah dalaman parti itu dan lebih agresif dalam mendekati masyarakat kaum Cina.

Jawatan menteri Kabinet yang disandang (di sebalik beliau tewas dan prestasi partinya terburuk dalam sejarah), adalah bertujuan mendorong beliau agar bingkas bangkit. Janganlah asyik ghairah mahu kelihatan bersama Perdana Menteri. Itu bukan KPI beliau sebagai menteri mahupun peneraju parti komponen.

Tsu Koon sendiri perlu lebih banyak meluangkan masa bersama rakyat di negeri itu. Pemimpin diuji ketika krisis dan waktu getir. Jika beliau masih lesu, tidak berani dan kurang yakin, lepaskan sahaja jawatan presiden parti. Beri peluang kepada orang lain. Bersara awal dan pergi melancung ke seluruh dunia lebih baik. — Mingguan Malaysia

No comments

Powered by Blogger.