Umno menang di kubu kuat sendiri- Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution berkata, kekalahan Pas dan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil Dun Kerdau dan Merlimau tidak boleh dijadikan ukuran sokongan keseluruhan pengundi kepada Barisan Nasional.

“Kekalahan ini berlaku di kubu BN, kita rasa tidak ada sebab untuk kita merasa begitu tersentak. Sekiranya Keadilan meletakkan calon di Hulu Selangor yang sebelum itu dimenangi Keadilan dan kalah di situ, tentunya ada sebab untuk kita merasa bimbang. Begitu juga Umno, tentu Umno ada sebab untuk merasa bimbang bila mereka kalah di Hulu Terengganu, yang menjadi kubu kuat BN.

“Di Kerdau dan Merlimau kita tahu secara tradisi kawasan ini adalah kubu kuat BN,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen selepas perasmian pembukaan parlimen tengahari tadi.

Ketika ditanya samada isu peneroka Felda yang dibawa Pakatan tidak lagi relevan, beliau menafikan dan menjelaskan bahawa Pakatan akan tetap meneruskan usaha memenangi sokongan pengundi di kawasan tanah rancangan itu.

“Isu Felda bukan isu recycle, isu Felda adalah isu semasa, cuma ia diolah untuk memahamkan peneroka Felda. Dengan adanya harga komoditi yang baik, tentunya peneroka Felda merasa berterima kasih kepada kerajaan,” katanya.

Beliau memberi contoh Parlimen Padang Terap yang pernah pada satu ketika dahulu menjadi kubu kuat Umno kerana faktor Felda dengan memperolehi majoriti 6,000 undi, akhirnya berjaya ditembusi Pakatan Rakyat.

“Waktu itu Umno menang begitu selesa, maknanya 6,000 undi yang diperolehi BN tidak dapat selamatkan Padang Terap.

“Pakatan perlu bekerja lebih kuat kerana di Kerdau, undi Pakatan cuma merosot sebanyak 180 undi. Kemenangan BN juga disebabkan peratusan keluar mengundi yang tinggi,” ujarnya.

No comments

Powered by Blogger.