UMNO Perlukan Suntikan Baru, Hadi Berjaya Perkasakan PAS


Minggu ini, terlalu banyak isu yang perlu diutamakan dalam ulasan dan pandangan saya sebagai seorang pemerhati politik. Setelah keputusan rakyat diketahui, satu kesimpulan mudah adalah orang Melayu silap dalam percaturan politik mereka berbanding dengan orang Cina dan India dalam pilihanraya umum ke-12 pada 10hb. Mac lalu.


Orang Melayu gagal memahami kesan buruk pemerintahan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah dalam menangani krisis ekonomi menyebabkan kehidupan rakyat begitu tertekan dengan kenaikan harga barang tidak berani membuat tindakan yang sama berbanding dengan orang Cina dan India.


Secara peribadi, saya tidak menjangkakan orang Cina dan India begitu nekad membuat perubahan menolak Barisan Nasional kerana keupayaan ekonomi mereka adalah jauh lebih baik dari orang Melayu.


Kesan dari tindakan orang-orang Cina dan India, pembangkang berjaya menubuhkan kerajaan negeri di Pulau Pinang, Kedah, Perak dan Selangor serta mendapat banyak kerusi di negeri-negeri di pantai Barat.

Walaupun secara umumnya pilihanraya ini masih dimenangi oleh Barisan Nasional dengan menguasai 140 kerusi parlimen tetapi parti-parti pembangkang buat pertama kalinya selepas 50 tahun merdeka berjaya menafikan majoriti 2/3.


Barisan Nasional kekurangan 8 kerusi bila parti-parti pembangkang berjaya memperolehi 82 kerusi parlimen dimana Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendapat 31 kerusi, Parti Tindakan Demokratik (DAP) 28 kerusi dan Parti Islam SeMalaysia pula mendapat 23 kerusi.


Pak Lah bukan sahaja gagal mempertahankan kejayaan cemerlang 63.68 peratus yang dicapainya dalam pilihanraya umum ke-11 pada 2004 yang lalu. Malah undi popular yang diperolehi oleh BN adalah yang terendah sejak pilihanraya 1959.


Undi popular BN kali ini adalah 50.28 peratus undi sahaja daripada keseluruhan 8.1 juta pemilih yang keluar mengundi di seluruh negara. Analisa yang disiarkan dalam media-media tempatan menunjukan UMNO hanya mencatatkan 29.59 peratus undi popular berbanding pesaing terdekatnya iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mendapat 18.05 peratus daripada 49.71 peratus undi yang diraih parti pembangkang.


Di kalangan parti komponen BN lain, MCA mendapat 10.21 peratus undi, MIC (2.21 peratus), Gerakan (1.99 peratus) dan PPP (0.20 peratus). Bagi parti pembangkang lain, PAS yang memenangi 23 kerusi Parlimen dalam pilihan raya kali ini mendapat sokongan 14.05 peratus pengundi, DAP (13.72 peratus), Parti Rakyat Malaysia (PRM) (0.21 peratus), SNAP (0.04 peratus), Bersekutu (0.01 peratus), manakala calon Bebas meraih 1.04 peratus undi. Kemerosotan dalam undi popular BN kali ini sebahagian besarnya disebabkan kekalahan teruk dua parti komponennya iaitu MIC dan Gerakan. UMNO pula kehilangan banyak kerusi di Kelantan dan Kedah kepada PAS dan PKR.


Begitu juga Gerakan pula hanya menang dua daripada 12 kerusi Parlimen yang ditandinginya di seluruh negara, iaitu Gerik dan Simpang Renggam serta lima daripada 31 kerusi DUN iaitu Kuala Sepetang (Perak), Ketari (Pahang), Pemanis dan Bukit Batu (Johor) serta Derga (Kedah). Sementara MIC hanya menang tiga kerusi Parlimen dan tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi DUN yang ditandingi. Semua pemimpin utamanya - Presiden, Datuk Seri S Samy Vellu, Timbalan Presiden (Datuk G. Palanivel) serta tiga naib presiden (Datuk S. Sothinathan, Datuk S Veerasingam dan Tan Sri Dr KS Nijhar) tewas mengejut.


Manakala Presiden PPP, Datuk M.Kaveas gagal memenangi kerusi tunggalnya di parlimen Taiping.Dengan pembangkang menguasai 5 negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan serta Wilayah Persekutuan bermakna pembangkang telah menguasai lebih dari separuh negeri-negeri di Semenanjong Malaysia.Hanya parti—parti komponen di Sabah dan Sarawak berjaya membantu BN untuk terus berkuasa dan membolehkan Pak Lah berjaya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.


Jika mereka bersama dengan PKR, PAS dan DAP membentuk satu pakatan baru bermakna kerajaan UMNO akan tumbang dalam sekelip mata sahaja. PAS – Parti Alternatif Masa Depan Orang MelayuPeningkatan pembangkang dalam pilihanraya kali ini adalah lebih baik dari 1969 dan 1999 dimana pembangkang berjaya mengubahkan perghantungan orang Melayu kepada UMNO semata-mata. Sejak itu PAS berjaya menjadikan partinya sebagai parti aternatif kepada orang Melayu menguasai negeri Kelantan sejak lebih 18 tahun yang lepas.


Malah kejayaan PAS dibawah kepimpinan Dato’ Seri Tuan Guru Hj. Abdul Hadi Awang kali ini adalah lebih baik dari pencapaian PAS dibawah Dato’ Fadhil Mohd Nor walaupun PAS hanya mendapat 23 kerusi parlimen kurangan 4 kerusi parlimen berbanding 27 kerusi parlimen pada tahun 1999.


Sekarang PAS bukan sahaja menjadi parti penentu dalam pembentukan kerajaan di negeri Perak dan Selangor tetapi juga menjadi benteng terakhir orang Melayu selepas UMNO tidak lagi relevan untuk meneruskan survival Melayu dinegara ini.


Walaupun PAS berjaya membentuk kerajaan camporan di Perak dan Selangor tetapi kerajaan tersebut boleh tumbang bila-bila masa sahaja jika tidak berjaya sekata dalam memerintah negeri berkenaan. Sungguhpun begitu kerajaan PAS di Kedah dan DAP di Pulau Pinang lebih mudah diurus kerana ada parti yang jelas dominan. Ada satu perkara yang menarik dalam kepimpinan Ustaz Hadi dan Ustaz Fadhil dalam PAS.


Semasa memimpin PAS, mereka tidak berjaya menawan negeri sendiri. Kedah tidak berjaya ditawan ketika beliau menjadi Presiden PAS walaupun beliau jarang tewas dalam kerusi DUN yang ditandinginya. Begitu juga dengan Ustaz Hadi sekarang ini, Terengganu belum berjaya ditawan ketika beliau menjadi Presiden PAS walaupun tidak pernah tewas bagi kerusi DUN yang ditandinginya. Dibawah kepimpinan Ustaz Hadi, PAS berjaya mengekalkan Kelantan, menawan Kedah dan meningkatkan 100 % prestasi PAS di Terengganu – tiga negeri yang menjadi sasaran PAS. Selain itu berjaya buat pertama kalinya membentuk kerajaan camporan PAS dengan parti-parti pembangkang PKR dan DAP di Perak dan Selangor serta kemunculan wakil rakyat PAS di Johor (DUN Maharani dan Sungai Abong) dan Negeri Sembilan (SUN Paroi). PAS, PKR dan DAP perlu membuktikan kerajaan pimpinan mereka di Kelantan, Kedah, Perak, Selangor dan Pulau Pinang boleh diharapkan menyelesaikan masalah rakyat. Mereka perlu bersiap sedia untuk menghadapi pilihanraya sekali lagi kerana Barisan Nasional masih menguasai kerajan pusat dan akan membuat pilihanraya umum mengejut dalam tempoh setahun dari sekarang selepas menyelesaikan pemilihan kepimpinan parti UMNO dan MCA yang ditangguh kerana pilihanraya umum baru-baru ini.



Dalam masa yang sama, Anwar Ibrahim yang masih relevan dalam politik Malaysia perlu mengorak langkah dengan menggabungkan semua parti-parti pembangkang sebelum diberikan kepercayaan oleh rakyat untuk menerajui Negara dengan menubuhkan “barisan baru” yang bukan sahaja setanding dengan Barisan Nasional malah perlu lebih baik dari itu.

No comments

Powered by Blogger.