Sumpah Pegang Quran Tiada Dalam Islam, Kata Nik Aziz
Mana satu yang betul?
Utusan Malaysia Online memaparkan tajuk berita berikut:
Nik Aziz akui sumpah Saiful ikut cara Islam
Bernama.com pula meletakkan tajuk berikut:
Sumpah Pegang Quran Tiada Dalam Islam, kata Nik Aziz
Utusan Malaysia yang dikuasai atau dimiliki sama ada secara langsung atau secara tidak langsung oleh UMNO berkata cara sumpah laknat itu mengikut cara Islam manakala Bernama, sebuah agensi berita dibawah seliaan Kementerian Penerangan berkata cara itu (memegang Quran) tiada dalam Islam. Kedua-dua media memetik atau mengutip Murshidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai berkata demikian.
Mana satu yang betul?
Dalam laporannya, Utusan Malaysia Online melaporkan bahawa "Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengakui cara bersumpah laknat (mubahalah) yang dilakukan oleh bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan memang mengikut cara Islam."
Bernama.com pula memetik Nik Aziz sebagai berkata "kaedah sumpah laknat yang dilafazkan oleh Mohd. Saiful Bukhari Azlan dengan memegang kitab suci Al-Quran adalah satu perbuatan yang menyalahi ajaran Islam."
Utusan Malaysia Online kutip Nik Aziz sebagai berkata "mengikut cara Islam" manakala Bernama.com memetik Mursyidul Am Pas itu sebagai berkata "menyalahi ajaran Islam."
Bagaimana boleh wujud dua laporan yang amat jauh bezanya? Adakah salah satu media itu sengaja berbuat demikian atas kepentingan politik pihak tertentu?
Nik Aziz juga dipetik oleh Bernama.com sebagai berkata perbuatan memegang atau menjunjung Al-Quran sebenarnya adalah perbuatan meniru orang Kristian yang memegang kitab suci mereka.
Saya yakin laporan Bernama.com lebih tepat dan betul.
No comments
Post a Comment