Belanjawan Najib Bersandarkan Dasar Lama Mahathir

Oleh Suara Keadilan

lks5SHAH ALAM 18 Okt - Belanjawan 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri Jumaat lalu tidak mencerminkan kesungguhan melaksanakan apa yang terkandung di dalam Model Ekonomi Baru malah mengambil acuan dan kerangka polisi lama yang telah gagal serta memerangkapkan Malaysia dalam ekonomi pendapatan sederhana selama lebih sedekad sehingga menjurus negara ke arah status bankrap menjelang 2019.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata ini terbukti apabila Datuk Seri Najib telah terjerumus dalam kegilaan mega projek seperti mentornya, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan cadangan pembinaan Menara Warisan Merdeka berharga RM5 bilion

"Sekiranya Najib begitu komited terhadap MEB berdasarkan kepada transformasi ekonomi, sosial dan kerajaan, tidakkah lebih elok bagi Malaysia mencapai sasaran sebagai negara dua puluh teratas di kalangan negara paling kurang gejala rasuah di dalam Indeks Persepsi Rasuah Transparency International? Ataupun mensasarkan agar negara mempunyai sekurang-kurangnya 10 universiti yang tergolong dalam 100 universiti terunggul di dunia?

"Malah Najib perku ditanya adakah beliau sebenarnya cuba menandingi Dr Mahathir yang membina Menara Berkembar Petronas? Atau adakah Najib mempunyai cita-cita untuk membina bangunan paling tinggi di Asia?" sindir Kit Siang dalam kenyataan medianya semalam.

Beliau berkata Belanjawan 2011 tidak menyakinkan rakyat bahawa bajet pertama hasil MEB mampu mentransformasi ekonomi kepada berpendapatan tinggi bagi mencapai status negara maju menjelang 2020 dengan memberi perhatian kepada modal insan, perkhidmatan awam yang efisien, suntikan pembaharuan dalam sektor swasta dan peluang sama rata kepada semua warga Malaysia.

Jelas beliau, umpamanya Talents Corporation di bawah Pelan Induk Talent Kebangsaan yang akan ditubuhkan awal tahun depan bagi membangunkan jaringan pengkalan data sumber kemahiran seluruh dunia tidak mungkin berjaya jita tidak ada kemahuan politik yang kuat daripada pentadbiran Najib.

Malah ketidak yakinan terhadap kemahuan politik Najib untuk melakukan perubahan terserlah apabila Umno berusaha untuk mendapatkan sokongan daripada kalangan pesara kerajaan.

Kata Kit Siang ketika melancarkan Kelab Umno bagi pesara kerajaan di Seri Perdana Sabtu lalu, Najib meluahkan rasahairan mengapa golongan tersebut menyokong oposisi.

Malah Najib menyatakan hanya Umno mampu menjamin kelangsungan hidup rakyat Malaysia disamping menyalahkan oposisi kononnya menyoal hak istimewa orang Melayu, pertikaikan doakan kesejahteraan untuk Yang DiPertuan Agong serta cadangan membuka UiTM kepada bukan Melayu.

"Dalam sekelip mata Najib telah mendedahkan dasar 1Malaysia dan semua cakap mengenai transformasi ekonomi, sosial dan kerajaan agar negara melepasi perangkap ekonomi sederhana adalah kosong dan tidak bernilai sama sekali.

"Apa yang lebih dahsyat, ucapan beliau yang menghina komponen Barisan Nasional seperti MCA, Gerakan, MIC, SUPP dan PBS and other sebagai tidak relevan kepada Umno lantas meruntuhkan polisi 1Malaysia beliau," kata Kit Siang.

No comments

Powered by Blogger.