Orang Asli Yang Hilang Ketika Cari Katak Ditemui Selamat

TEMERLOH, 18 Okt (Bernama) -- Seorang pemuda Orang Asli yang hilang ketika keluar mencari katak di hutan Belenggu, Lanchang pada Sabtu lepas ditemui selamat, Isnin pagi.

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mohd Nor Mansor berkata mangsa, Emi Apeng, 22, dari Kampung Sungai Leleh, Lanchang ditemui pada 10.45 pagi oleh penduduk kampung yang mencarinya sejak dia dilaporkan hilang.

Beliau berkata ketika kejadian Emi bersama bapanya, Apeng Hitam keluar mencari katak kira-kira 7.30 malam untuk dijadikan hidangan sebelum bertembung dengan sekumpulan gajah menjelang tengah malam itu.

"Dalam keadaan panik, kedua-dua beranak itu telah berpecah, namun bapanya berjaya pulang ke rumah," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Katanya kelibat Emi yang tidak muncul menyebabkan satu laporan polis dibuat sebelum gerakan mencari dan menyelamat dilancarkan.

No comments

Powered by Blogger.