Felda Bertindak Hasil Desakan Pakatan Rakyat, NGO

Oleh Frederick Luccas

AI37KUALA LUMPUR 19 Okt - Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Menteri dan Timbalan Menteri yang bertanggungjawab terhadap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bersikap angkuh dan sembrono dengan mengenepikan segala keluh resah golongan peneroka Felda yang mengadu masalah mereka kepada agensi berkenaan sejak sekian lama.

Ketika berucap pada perbahasan ucapan Belanjawan 2011 berkata hasil desakan kuat ahli parlimen Pakatan Rakyat serta badan swadaya yang memperjuangan hak peneroka, kini Felda mula memberi perhatian serius terhadap isu-isu yang dibangkitkan.

Antaranya kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi, ialah berkenaan isu wang daripada tabung tanam semula yang dituntut oleh sebahagian peneroka.

Beliau merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan pada 7 Oktober lalu yang menyatakan Felda bersedia memberikan wang tanam semula sebanyak RM17,000 kepada peneroka tetapi dengan syarat mereka perlu membuat tanaman semula mengikut garis panduan yang ditetapkan.

"Saya tidak pertikai maksud baik awal Rancangan Felda dan beberapa faedah serta nikmat yang diperolehi, tetapi seperti mana yang kita tekankan, wajar diberikan penilaian dan pertimbangan semula kerana lebih ramai masyarakat Felda merasakan ada bentuk ketidakadilan berlaku," tegas beliau.

Katanya lagi, Felda memberi alasan wang tanam semula tidak diberikan sebelum ini bagi mengelakkan wang tersebut disalah gunakan oleh para peneroka.

"Persoalannya sekarang, adakah benar ini akan dilaksanakan? Kita menuntut, rakan-rakan kita nak tanya, bila nak laksanakan?

"Kenapa ada peneroka yang telah menanam sendiri lima, malah sepuluh tahun, wang tanam semula tidak diperolehi?" tanya Anwar.

feldaBeliau seterusnya menyatakan jika isu ini berkenaan membantu keluarga dan rakan Umno-Barisan Nasional, ia akan segera dilakukan tetapi apabila berkaitan membantu masyarakat kampung termasuk kaum Melayu sendiri tidak kesampaian walaupun mereka yang terbabit terpaksa menunggu sepuluh tahun.

Katanya lagi, para peneroka terpaksa menyaman Felda kerana kegagalan Felda membayar wang penanaman semula walaupun rundingan telah dibuat begitu lama.

"Ini keluhan yang mereka (peneroka Felda) keluarkan. Mengapa para pemeroka Felda berani bawa kes ke mahkamah?

"Jawapannya kerana mereka terdesak, kalau bawa ke Felda tiada harapan," tegas beliau lagi.

No comments

Powered by Blogger.