Maidam Pungut Zakat RM56 Juta Setakat Ini

KUALA TERENGGANU, 14 Okt (Benama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) berjaya mengutip zakat sebanyak RM56 juta dari awal tahun sehingga hari ini, daripada RM80 juta yang disasarkan untuk tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Wan Harujan Sulaiman berkata dalam masa yang sama, Maidam telah mengeluarkan sebanyak 43.4 juta untuk diagih-agihkan kepada mereka yang berhak.

"Trend kutipan zakat ini telah meningkat dari setahun ke setahun," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Wang Zakat Perniagaan Beras Nasional (Bernas) di Pejabat Maidam, di sini Khamis.

Bernas yang diwakili Pengurus Kanan Unit Perhubungan Awam Hal Ehwal Korporatnya, Roslan Othman menyerahkan zakat sebanyak RM155,147 kepada Wan Harujan pada majlis itu.

Menurut Wan Harujan tahun ini, pihaknya menganggarkan agihan zakat di Terengganu akan meningkat kepada RM60 juta berbanding RM53 juta pada tahun lepas.

Tahun ini, antara agihan zakat terbesar ialah bantuan Hari Raya kepada 33,193 orang sebanyak RM11.6 juta, saraan bulanan kepada 2,424 orang miskin RM5.4 juta dan membaiki rumah fakir miskin RM2 juta.

Beliau berkata Maidam juga mengeluarkan sebanyak RM1.8 juta untuk bantuan kepada 498 orang guru Al-Quran selain dermasiswa hampir RM2 juta kepada 139 pelajar yang melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara sepanjang tempoh tersebut.

Sementara itu, Roslan berkata Bernas telah mengeluarkan zakat sebanyak RM2.43 juta kepada negeri-negeri, termasuk Sabah dan Sarawak tahun ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata tahun ini juga Bernas akan menghantar seramai 100 orang penanam padi yang terpilih dari seluruh negara untuk mengerjakan ibadat Umrah di Tanah Suci Mekah.

No comments

Powered by Blogger.