Rayuan Pendakwaan Berhubung Pembebasan Pegawai Khas Ronnie Liu, Ditolak

SHAH ALAM, 5 Okt (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Wong Chuan How, pegawai khas kepada anggota Exco kerajaan Selangor Ronnie Liu, daripada tuduhan pecah amanah membabitkan cek berjumlah RM2,500, dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Asmabi Mohamad memutuskan sedemikian selepas menilai rekod rayuan dan alasan penghakiman oleh Hakim Mahkamah Sesyen serta menilai semua keterangan termasuk kredibiliti saksi-saksi.

Pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini sebelum ini yang melepas dan membebaskan Wong tanpa dipanggil membela diri daripada tuduhan pecah amanah melibatkan cek bernilai RM2,500 iaitu wang peruntukan menganjurkan program gotong-royong dan ramah mesra Kampung Baru Lanjut dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pelek.

Wong didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Daerah Sepang antara 30 Julai dan 16 Sept 2008.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ng Siew Wee hadir bagi pihak pendakwaan sementara Wong diwakili peguam Imran Hadzalie Abdul Hamid.

Asmabi berkata terdapat percanggahan yang nyata antara keterangan dua saksi pendakwaan dan dalam alasan penghakiman Hakim Mahkamah Sesyen, kredibiliti saksi ketiga pendakwaan, Mohd Zaini Abd Rahman adalah dicabar dan Hakim Mahkamah Sesyen tidak mempercayainya.

"Pada keseluruhannya saya bersetuju dengan alasan yang diberikan oleh Hakim Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan tertuduh tanpa dipanggil membela diri. Justeru, saya tolak rayuan pihak pendakwaan dan mengekalkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen," katanya.

Dalam reaksinya selepas itu, Wong berkata beliau gembira dengan keputusan yang dikeluarkan oleh mahkamah pada Selasa.

"Setakat ini, saya tidak ada niat untuk menipu atau melakukan pecah amanah. Saya hanya melaksanakan tanggungjawab serta tugas saya," katanya.

Pihak pendakwaan sebelum ini turut gagal dalam rayuan mereka berhubung pembebasan Wong daripada satu lagi tuduhan iaitu mengemukakan borang peruntukan dan invois palsu bagi pembekalan 2,500 unit bendera kereta bernilai RM2,500, dua tahun lepas.

Bagaimanapun, pendakwaan berjaya dalam rayuan mereka terhadap pembebasan Wong bagi satu lagi pertuduhan pecah amanah membabitkan cek bernilai RM5,000 dan Mahkamah Tinggi memerintahkan pembantu khas Ronnie Liu itu untuk membela diri pada 13 dan 14 Dis depan.

No comments

Powered by Blogger.