Sukan Komanwel: Pandelela Tarik Diri Acara 3m Papan Anjal

Daripada Frank Julian Martin

NEW DELHI, 13 Okt (Bernama) -- Pandelela Rinong yang merangkul pingat emas Sukan Komanwel XIX dalam acara 10m platform wanita di Kompleks Akuatik Dr S.P. Mukherjee pada Isnin menarik diri daripada menyertai acara 3m papan anjal di sini.

Atase media kontinjen Malaysia di sukan itu, Mohd Rizal Mohd Radzi berkata keputusan untuk membatalkan penyertaan Pandelela dalam acara itu dibuat selepas mendengar nasihat jurulatihnya.

"Jurulatihnya Yang Zhuliang membuat keputusan itu berdasarkan yang pertama tiada pingat yang berpotensi untuk dimenangi Pandelela dan kedua kerana dia tidak disenaraikan untuk menyertai acara itu pada mulanya," kata Mohd Rizal kepada Bernama.

Alasan lain kerana gadis berusia 17 tahun dari Sarawak, yang memenangi pingat perak dalam acara 10m platform dan 3m papan anjal di Sukan Olimpik Remaja Singapura 2010 bulan lepas, akan menyertai Sukan Asia ke-16 di Guangzhou, China bulan depan.

"Jadi pada dasarnya, beliau menyelamatkannya untuk persediaan di Sukan Asia dan jurulatihnya tidak mahu Pandelela mengalami kecederaan," kata Mohd Rizal.

Pandelela, terseliuh lehernya seminggu sebelum berlepas ke Singapura dan memberi saingan hebat walaupun tidak sihat sepenuhnya.

Selain pingat emas, Pandelela juga memenangi pingat perak bersama pasangannya Leong Mun Yee dalam acara 10m synchro platform wanita.

Pandelela layak menyertai acara itu selepas memperoleh 255.20 mata sebelum menarik diri.

Tugas untuk menambah pungutan pingat kini disandarkan kepada Ng Yan Yee.

Namun, Yan Yee gagal menandingi peserta Australia dan Kanada yang memungut mata tinggi dalam acara akuatik.

Dia hanya berjaya menamatkan tempat kelapan selepas mengumpul 290.15 mata.

Sharleen Stratton dari Australia memenangi pingat emas dengan 376.00 mata, Jennifer Abel dari Kanada memperoleh perak (338.55 mata) dan seorang lagi peserta Australia Jaele Patrick mendapat gangsa (326.15 mata).

No comments

Powered by Blogger.