harga turun....kuantiti makin kecil?


SHAHRIR Abdul Samad (dua, kanan) menunjukkan banting yang tertera penurunan harga makanan selepas majlis pelancaran Kempen Turun Harga Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMA) di Restoran Syed, Bangsar hari ini. Turut hadir Presiden PRESMA Jamarulkhan Kadir dan Timbalan Presiden PRIMA T. Muthusamy (kanan). - foto The Star oleh YAP CHEE HONG

KUALA LUMPUR: Walaupun potongan harga yang diberikan oleh kira-kira 4,500 pengusaha restoran mamak dan India tidak seperti yang diharapkan oleh kebanyakan orang, namun itu sudah mencukupi bagi mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Potongan harga sebanyak 10 sen untuk roti canai dan teh tarik dan 20 sen untuk sepinggan nasi kandar memberi peluang kepada Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) dan Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (PRIMAs) membantu golongan itu meningkatkan kuasa membeli mereka.

Timbalan Presiden PRIMAS, T. Muthusamy berkata, keputusan menurunkan harga itu dicapai oleh anggota persatuan berikutan keputusan kerajaan menurunkan harga minyak barubaru ini iaitu pada 1 November lepas.

"Walaupun kami dibebankan dengan kenaikan harga minyak pada Jun lalu, namun kami tidak menaikkan harga makanan kami sesuka hati.

"Hari ini kami bercadang untuk memberikan potongan harga sebagai tanda sokongan kami terhadap usaha kerajaan yang prihatin terhadap rakyat dengan menurunkan beberapa kali harga minyak," katanya.

Harga bagi roti canai sekarang adalah tertakluk kepada lokasi restoran kerana ada di kalangan anggota persatuan yang menjualnya pada harga antara 70 sen dan RM1.50 sekeping manakala bagi teh tarik pula, 90 sen hingga RM1.50 secawan sementara bagi nasi kandar, rata-ratanya sama iaitu sekitar RM4.50 sepinggan.

Sementara itu, Presiden PRESMA Jamarulkhan Kadir berkata, walaupun pembekal tidak menurunkan harga barangan berikutan kos operasi yang tinggi, namun pihaknya tetap mengekalkan harga seperti biasa.

Beliau berkata, sekiranya beliau dan anggota PRESMA yang lain turut menaikkan harga, mereka akan mengalami kerugian berikutan sasaran awal mereka iaitu golongan pelajar dan yang berpendapatan rendah dan sederhana tidak lagi mengunjungi restoran mereka.

"Kita tetap kekalkan harga barangan walaupun harga minyak naik. Kalau kami naikkan, siapa yang akan datang ke restoran kami. Golongan mewah mungkin sekali-sekala, tetapi yang kerap adalah golongan pelajar dan berpendapatan rendah.

"Namun, dengan penurunan harga petrol ini menunjukkan bahawa kerajaan serius dan prihatin terhadap masalah rakyat. Kami tetap menyokong penuh segala usaha yang dibuat oleh kerajaan," katanya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad yang merasmikan kempen penurunan harga oleh PRESMA dan PRIMAS berkata, ia adalah satu langkah yang wajar dicontohi oleh pengusaha restoran yang lain.

"Kementerian memang melihat kesedaran dan kesanggupan kedua-dua persatuan itu untuk membantu pengguna sebagai satu langkah yang baik.

"Walaupun tidak banyak yang diturunkan, tetapi inilah yang mahu dilihat oleh rakyat kesan penurunan harga minyak. Ini akan mewujudkan satu suasana yang sihat di kalangan pengguna, peniaga dan kerajaan," katanya.

Pada awal bulan ini, harga petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.30 seliter kepada RM2.15 seliter, petrol RON92 dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter dan diesel dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.

Ia merupakan kali keempat kerajaan menurunkan harga minyak selepas 23 Ogos, 24 September dan 15 Oktober.

Pada 4 Jun lepas, kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau kirakira 41 peratus, kepada RM2.70 seliter daripada RM1.92 seliter, berikutan lonjakan harga minyak mentah dunia ketika itu.

No comments

Powered by Blogger.