Tee Keat tetap enggan ulas surat letak jawatan Ka Chuan


KUALA LUMPUR: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat hari ini tetap enggan mengesahkan atau menafikan sama ada menerima surat peletakan jawatan daripada Datuk Seri Ong Ka Chuan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai apa yang saya telah katakan semalam,” kata Menteri Pengangkutan itu apabila ditanya pemberita sama ada telah menerima surat itu.

Tee Keat berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan MIRC Ingenious Capital Partners Sdn Bhd (MICP) and Technopreneur Venture Management Fund di sini, hari ini.

Tee Keat semalam enggan mengulas mengenai peletakan jawatan Ka Chuan.

Ka Chuan pula dilaporkan media telah menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Tee Keat berikutan kekalahannya dalam pemilihan parti pada 18 Oktober.

Ka Chuan tewas kepada bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden dengan majoriti 114 undi.

Mengenai ura-ura penubuhan Jawatankuasa Veteran MCA seperti yang dilaporkan media sebelum ini, Tee Keat berkata:"Saya belum lagi buat sebarang keputusan.

"Jauh sekali buat pengumuman. Mana-mana pihak bebas membuat sebarang spekulasi.”

Mengenai e-Kesihatan, Tee Keat menafikan dakwaan bahawa pihaknya tidak memaklumkan pembatalan e-Kesihatan kepada syarikat konsesi yang mengendalikan program tersebut.

“Apa yang didakwa adalah kurang tepat. Sebelum ini terdapat juga interaksi antara syarikat konsesi itu dengan pegawai kami.

“Apabila Kabinet buat keputusan, kami juga harus umum kepada rakyat jelata,” katanya.

Media hari ini melaporkan Supremme Systems Sdn Bhd, syarikat pengendali program e-Kesihatan, mendakwa tidak dimaklumkan mengenai pembatalan itu. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.