umno perlis bergolak?
BERITA dari Perlis, mengenai perlantikan bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Dato' Seri Radzi Sheikh Ahmad sebagai Penasihat Menteri Besar Perlis tidak mendapat apa-apa komen dari media massa, walaupun ia seakan-akan satu berita besar yang perlukan diberikan perhatian.
Iklan
Perlis adalah negeri paling kecil di Malaysia. Keluasannya mungkin sama besar dengan kawasan Parlimen Hulu Selangor sahaja. Tetapi, keadaan politiknya cukup menarik untuk diperkatakan.
Maklumlah, ketika Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi melantik bekas MB Perlis, Dato' Seri Shahidan Kassim sebagai Penasihat Ekonomi Koridor Utara, MB Perlis, Dato' Seri Md Isa Sabu pula melantik bekas Menteri Kabinet menjadi penasihatnya.
Berlawan-lawan melantik. Yang Perdana Menteri �buang�, MB Perlis kutip, yang 'istana Perlis' buang, Perdana Menteri pula kutip.
Nasib baik, MB Perlis tidak melantik seorang lagi bekas Menteri Kabinet, Dato' Seri Azmi Khalid menjadi Penasihatnya juga, kerana Azmi juga 'dibuang' Perdana Menteri, sebaik sahaja dia menang semula kerusi Parlimen Padang Besar.
Lebih menarik, Md Isa turut mengumumkan, Radzi akan menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri - mungkin untuk membantunya 'dalam hal-hal' tertentu di mana Shahidan Kassim akan turut berada di situ.
Md Isa sebenarnya pernah menjadi 'pegawai' kepada Radzi ketika Radzi menjadi Timbalan Menteri dahulu, dalam era Tun Dr Mahathir.
Ketika Md Isa tidak ada kerja, Radzi ambil dia bekerja dengannya dan sekarang, bila Md Isa Nampak Radzi tidak ada kerja, Md Isa pula mengambil Radzi bekerja dengannya.
Cuma, ketika Radzi melantik Md Isa sebagai 'setiausaha', Md Isa pula melantik Radzi sebagai 'penasihat'. Nama jawatan mungkin berbeza, tetapi itulah juga 'kerjanya'.
Tidak pula diketahui, macam mana bayaran dibuat, samada dibayar elaun atau gaji kepada Radzi, kerana jarang betul mendengar bekas Menteri dilantik menjadi 'penasihat' kepada Menteri Besar.
Perlis sebenarnya sebuah negeri kecil, yang hasil buminya juga tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan pentadbiran.
Namun, walaupun ia negeri kecil, tetapi ramai juga yang mendapat jawatan dalam kerajaan negeri dan pusat.
Suatu ketika dahulu, dua Menteri Kabinet datangnya dari Perlis, di samping Presiden Senat, Tan Sri Dr Abdul Hamid Pawanteh.
Permusuhan Md Isa dengan Shahidan bermula sebaik sahaja Md Isa mengangkat sumpah menjadi MB, ketika Perdana Menteri memberikan tauliah kepada Shahidan di Kuala Lumpur.
Tidak lama kemudian, Md Isa melantik 'musuh tradisi' Shahidan, Amier Hassan yang juga bekas Naib Ketua Umno Bahagian Arau, menjadi Setiausaha Politik Menteri Besar Perlis.
Langkah pertama Amier, mengumumkan hasratnya bertanding jawatan Ketua Umno Bahagian Arau menentang Shahidan walaupun akhirnya, tidak berjaya kerana Amier hanya mendapat dua pencalonan, tidak melepasi quota untuk melayakkannya berbuat demikian.
Ketika Shahidan bersilat mahu menyelesaikan isu EPF pemain bolasepak Perlis, Exco Belia dan Sukan Negeri, Jamil Saad membidas Shahidan yang mendakwa kerajaan negeri tidak membantu Persatuan Bolasepak Perlis.
Suatu ketika dahulu, Jamil adalah 'budak suruhan Shahidan' tetapi sejak dilantik menjadi Exco, Jamil dikatakan pernah memberitahu kawan-kawannya, dia tidak ingat bila mula dia berkhidmat dengan PFA yang Presidennya ialah Shahidan.
Umum mengetahui, hubungan Perdana Menteri dengan Radzi renggang. Ada dakwaan mengatakan Radzi memainkan peranan utama menyebabkan Md Isa menjadi MB Perlis yang menyebabkan Abdullah berkecil hati.
Malahan, ketika melepaskan jawatan Setiausaha Agung Umno, Radzi tidak menyerahkan sendiri surat perletakan jawatan itu, sebaliknya mengumumkannya melalui media. Ketika menjawab pertanyaan pemberita, Radzi berkata; "Surat perletakkan jawatan sudah saya faks ke Pejabat Perdana Menteri...," yang mengambarkan betapa angkuhnya Radzi meninggalkan bossnya yang pernah meletakkan dia sebagai orang Perlis pertama menjadi Setiausaha Agung Umno.
Hari ini, orang bernama Radzi Sheikh Ahmad sudah dilantik menjadi Penasihat Menteri Besar Perlis, di mana tanpa Radzi, Md Isa yang dikatakan sudah mengunci pagar rumahnya setiap jam 8 malam, kerana faktor kesihatannya, dikatakan tidak mampu mempertahankan Perlis kekal di tangan Barisan Nasional (BN) dalam PRU 13 nanti.
Md Isa yang sedang berhempas pulas mahukan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Perlis yang masih disandang Shahidan, kini berjaya menjadi Ketua Umno Bahagian Kangar, apabila penyandangnya, Bakri Ali melepaskannya. Bakri kemudiannya dilantik menjadi Ketua Penerangan Umno bahagian, sebagai membalas budi baiknya kepada Md Isa.
Md Isa pernah menjadi Ahli Parlimen Kangar dan pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri. Dia merupakan orang lama dalam politik Perlis, walaupun jawatan yang disandangnya tidak pernah lebih dari AJK Bahagian Kangar.
Disebabkan dia bekas pegawai Radzi, maka namanya dicadangkan menjadi MB walaupun ketika itu, ada nama-nama lain termasuk Bakri boleh dilantik menjadi MB, menggantikan Shahidan.
Sebagai Ahli Parlimen Kangar, Md Isa pun hanya berjaya memanaskan tempat duduknya sahaja tanpa apa-apa idea jika dibandingkan dengan lain-lain bekas MP Kangar termasuk Allahyarham Shaari Jusoh, Radzi dan Dr. Abd Hamid.
Dia dikenali hanya kerana dia lama dalam Umno Kangar dan bukan kerana dia seorang yang terkenal dengan idea bernas.
Hari ini, sejarah akan merakamkan, bahawa Md Isa berjaya menjadi Ketua Umno Bahagian Kangar, selepa menjadi MB Perlis.
Sejarah juga akan menulis bahawa Shahidan kekal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, walaupun kelazimannya, dia sepatutnya melepaskan jawatan itu dan menyokong perlantikan Menteri Besar menggantikannya.
Di Padang Besar, Ahli Parlimen Padang Besar (yang pernah menjadi Ketua Umno Bahagian Kangar) gagal untuk kembali memimpin Umno Bahagian Padang Besar apabila dia 'bermain acilut' dengan jawatannya itu kerana ketika dia menang kerusi MT dan menjadi Menteri, ditinggalkannya jawatan Ketua Umno Bahagian tetapi apabila dia tidak dilantik semula menjadi Menteri dan kalah dalam pemilihan MT, dia kepingin mahu menjadi ketua bahagian semula.
Bekas menteri yang beristerikan selebriti TV ini gagal apabila dia ditewaskan dengan majoriti 11 undi oleh penyandang jawatan, Dato' Zahidi Zainol Abidin. Suatu ketika dahulu, Azmi pernah dibidas Radzi kerana menawarkan hadiah kereta dalam satu cabutan bertuah kepada sesiapa yang menukarkan kad pengenalan mereka kepada Mykad.
Bidasan itu Radzi buat ketika dia menggantikan Azmi di kementerian yang bertanggungjawab terhadap Mykad.
Akhirnya, cabutan bertuah dengan hadiah kereta itu dibatalkan! Hari ini, kesemua mereka ini, masing-masing kehilangan jawatan Menteri kerana mereka bertiga, Radzi, Shahidan dan Azmi kelihatan tidak pernah 'bersetuju' antara satu sama lain.
Kenyataan-kenyataan akhbar yang mereka keluarkan, saling hentam menghentam antara satu sama lain, yang menjadi bahan tertawa orang-orang di luar Parlis.
Ketika Radzi sudah dilantik menjadi Penasihat, begitu juga dengan Shahidan, Azmi masih terkial-kial dengan jawatannya sebagai Pengerusi PAC yang sering menjadi sasaran pembangkang, terutama dalam kes pembelian Eurocopter.
Kisah mereka tidak lebih dari kisah 'Tiga Abdul' dalam Filem P. Ramlee, dengan watak-watak tambahan bapa mentua dan tuan penasihat. -
No comments
Post a Comment