10,000 dijangka hadir Kongres PKR
KUALA LUMPUR: Kira-kira 10,000 perwakilan, pemerhati, pemimpin komponen Pakatan Rakyat, wakil kedutaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dijangka menghadiri Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijadualkan berlangsung 29 November ini.
Biro Penerangan PKR dalam satu kenyataan berkata, kongres dua hari bertema ‘Harapan Baru’ diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam.
Katanya, kongres pertama PKR selepas Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu, akan menyaksikan kehadiran wakil rakyat pembangkang yang ramai sejak penubuhan parti, 10 tahun lalu.
“Kongres kali ini diberikan tema ‘Harapan Baru’ atas kesedaran perlunya untuk menterjemahkan kuasa rakyat yang disaksikan dalam pilihan raya umum lalu kepada kuasa perubahan yang jitu ke arah Malaysia yang adil dan demokrasi.
“Kongres ini juga pertama kali diadakan sejak Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Ketua Pembangkang, selain membuka ruang kepada perwakilan membahaskan dasar perjuangan parti secara umum serta polisi pentadbiran negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat secara khususnya,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, kenyataan berkenaan berkata sayap parti, iaitu Angkatan Muda dan Wanita pula akan mengadakan kongres mereka secara berasingan pada 28 November.
“Kongres mereka akan dirasmikan oleh Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali di stadium berkenaan. Selepas perasmian, Angkatan Muda akan terus bersidang di Stadium Malawati, manakala Wanita pula akan bersidang di Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor.
“Orang ramai juga dijemput untuk mendengar pidato umum Anwar pada malam 29 November ini di stadium berkenaan,” kata kenyataan itu.
No comments
Post a Comment