mungkin muhyiddin akan disingkirkan dalam masa terdekat ini?
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menolak kemungkinan akan membuat satu rombakan Kabinet yang melibatkan perubahan dan pengubahsuaian portfolio dalam masa terdekat.
Menjawab soalan mengenai peletakan jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ong Ka Chuan hari ini, Abdullah berkata: “Rombakan itu tidak hanya untuk mengisi jawatan yang kosong (itu sahaja).
“Rombakan Kabinet itu akan melibatkan perubahan dan pengubahsuaian portfolio. Semua kemungkinan rombakan itu sentiasa ada,” katanya kepada sekumpulan wartawan Malaysia yang berada di sini kerana membuat liputan lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara ini.
Beliau diminta mengulas mengenai tindakan Ka Chuan yang menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai menteri kepada Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat.
Bernama yang memetik sumber sebagai berkata, Ka Chuan menyerahkan “surat peletakan jawatan tanpa tarikh” ekoran kekalahannya dalam pemilihan parti 18 Oktober lalu.
Ka Chuan tewas kepada bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dalam saingan merebut jawatan Timbalan Presiden.
Ditanya mengenai tindakan Ka Chuan itu, Abdullah berkata, langkah itu diambil sebagai satu tindakan mungkin untuk memudahkan Tee Keat membuat cadangan kepadanya berkaitan kedudukan menteri dari MCA dalam Kabinet.
“Mungkin itu dia bayangkan agaknya. Saya pun tak tahu surat apa yang dia tulis,” tambahnya.
Ditanya apakah beliau telah dimaklumkan secara rasmi hasrat Ka Chuan itu, Perdana Menteri berkata: “Belum ada, kalau ada surat di pejabat, saya belum baca lagilah. Dia bukan tak tahu peletakan jawatan dia kena beritahu kepada saya.”
Ditanya siapakah pengganti Ka Chuan, beliau berkata, Tee Keat mungkin akan membuat cadangan cepat untuk mencari pengganti.
Ditanya lagi adakah beliau akan menerima surat peletakan jawatan Ka Chuan, Abdullah berkata: “Kalau dia nak berhenti, dia ada sebab yang kukuh, saya akan menghormati pendiriannya dalam hal ini.”
No comments
Post a Comment