Lagi 50,000 pekerja Citigroup dibuang


SEORANG lelaki berjalan melintasi pintu utama ibu pejabat Citibank di Park Ave, New York Jumaat lalu.


NEW YORK - Gergasi perbankan Amerika Syarikat (AS), Citigroup mengumumkan bahawa ia akan menghentikan 50,000 kakitangan ketika keadaan krisis kewangan global semakin meruncing.

Pengumuman tersebut menyusul pengakuan kerajaan Jepun semalam bahawa negara kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia itu dicengkam kemelesetan.

Sebelum ini, Citigroup yang memiliki 358,000 kakitangan di 12,000 cawangannya di seluruh dunia sudah mengumumkan bahawa ia membuang 22,000 pekerja.

Bank yang beribu pejabat di New York itu merupakan bank terbesar di dunia dari segi perolehan dan memiliki 200 juta pelanggan di 107 buah negara.

Rancangan tersebut diumumkan Ketua Pegawai Citigroup, Vikram Pandit di laman web syarikat itu semalam.

Citigroup merekodkan kerugian empat suku kewangan termasuk kerugian AS$2.8 bilion (RM10 bilion) pada suku ketiga.

Pengerusi Citigroup, Win Bischoff dalam satu forum di Dubai berkata, beliau akan bertanggungjawab terhadap prestasi syarikat itu.

Bischoff tidak menolak kemungkinan para pegawai Citigroup tidak mendapat sebarang bayaran bonus pada bulan depan. - Agensi

No comments

Powered by Blogger.