adakah ini ada muslihat?
KUALA LUMPUR 17 Nov. - Pemandu teksi di sekitar Lembah Klang akan dibenarkan menjual makanan dan minuman ringan secara kecil-kecilan kepada pelanggan mereka tidak lama lagi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar berkata, pihak kementerian sedang mengkaji perkara tersebut dalam usaha membantu para pemandu teksi menambahkan pendapatan mereka.
"Kita juga akan melihat untuk membenarkan pemandu teksi mendapatkan kontrak mempamerkan iklan pada teksi mereka," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyampaikan sijil peserta Kursus Penambahbaikan Mutu Kerjaya Jurupandu Kenderaan Perdagangan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Noh berkata, pemandu teksi juga mungkin akan dibenarkan menjual kad-kad prabayar telefon kepada pelanggan teksi mereka.
Katanya, beliau akan berbincang dengan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) bagi membenarkan pemandu teksi berbuat demikian pada masa akan datang.
"Ini adalah antara cara kita untuk membantu para pemandu teksi. Kita mahu memberikan penekanan kepada pemandu supaya berusaha sendiri menambah pendapatan mereka," katanya.
Beliau berkata, kementerian turut bercadang untuk memastikan semua pemandu teksi di kawasan Lembah Klang mendapatkan kursus mengenai pemanduan pengangkutan awam di Pusat Giat Mara sebagai usaha memberi latihan jangka panjang kepada mereka.
"Kita mahu pastikan kerjaya sebagai pemandu teksi ini dihormati masyarakat. Jadi ia perlu bermula dengan memberi latihan yang sesuai kepada pemandu sendiri," katanya.
Dalam pada itu, Noh berkata, syarikat pengeluar kereta nasional, Proton telah bersetuju untuk membeli teksi-teksi terpakai keluaran syarikat itu apabila ia sudah terlalu lama.
"Proton pun sudah setuju dengan cadangan itu. Kini mereka juga akan mengeluarkan teksi yang lengkap dengan tangki gas asli untuk kenderaan (NGV) supaya pemilik tidak perlu memasangnya secara berasingan lagi," jelasnya.
No comments
Post a Comment