TABIK KEPADA MB KEDAH


Tolonglah, sokonglah kalau niat dan benda yang hendak dibuat itu baik.

Apa yang diumum dan diperjuangkan oleh Menteri Besar Kedah, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak adalah sesuatu yang perlu disokong bukan dihentam.

Oktober lalu, kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah telah meningkatkan pemilikan rumah dari 30 peratus kepada 50 peratus, berkuatkuasa 1 September 2008 bagi projek perumahan baru di negeri itu.

Azizan dilaporkan berkata, kerajaan negeri akan meminta syarikat-syarikat kaitan kerajaan supaya membina rumah yang mampu dibeli rakyat Kedah, sekiranya pemaju swasta tidak bersedia berbuat demikian.

Buruk sangatkah dasar yang mahu diperkenalkan Azizan iaitu kuota 50 peratus untuk Melayu dan Bumiputera memiliki rumah?

Beliau pula dengan jelas mengatakan ia lebih kepada rumah mampu milik.

Persoalan juga ialah dalam memperkatakan kuota ini, siapakah yang diutamakan, sama ada pemaju atau pembeli?

Juga, apakah rumah dan rumah kedai itu dibina pada harga yang mampu dibeli atau sengaja di bina rumah mahal dengan tujuan menjual kepada kaum tertentu sahaja atau juga pembeli dari luar negara?

Azizan memerlukan sokongan padu kerana dasar yang mahu beliau perkenalkan bagi menjamin Bumiputera yang membentuk 80 peratus daripada kira-kira dua juta penduduk Kedah tidak terpinggir daripada memiliki rumah mampu milik.

Malah katanya, kerajaan negeri juga akan mengeluarkan kertas putih mengenai dasar itu untuk memberi penjelasan kepada semua pihak.

Beliau terpaksa berdepan dengan serangan MCA, Gerakan dan juga Parti Keadilan Rakyat.
Azizan menolak andaian dasar kuota itu akan dibatalkan. Ini bermakna Azizan seorang pemimpin yang tegas memperjuangkan kepentingan Bumiputera (termasuk Melayulah tu!)

Kelmarin beliau memberi amaran kepada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dari luar Kedah supaya jangan campur tangan dalam isu dasar baru kerajaan Pas Kedah berhubung pemilikan kuota rumah Bumiputera yang dinaikkan daripada 30 kepada 50 peratus.

Katanya, pemimpin PKR dan DAP dari luar Kedah tidak layak untuk campur tangan hal dalaman negeri itu selain tidak berhak mengajar beliau membuat keputusan terutama membabitkan perkara berkaitan dasar kerajaan Pas Kedah.

"Mereka (pemimpin PKR dan DAP) bukan bos saya, bos saya hanya Pas Pusat dan saya hanya akan mendengar arahan daripada pemimpin Pas.

"Kenapa Azmin (Azmin Ali, Naib Presiden PKR) menyibuk? Sedangkan saya tidak pernah mencampuri urusan dalaman negeri Selangor atau Pulau Pinang walaupun ada antara dasar yang mereka putuskan itu mengguris hati orang Islam dan Melayu," katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian semalam.

Azmin dilaporkan berkata bahawa pemimpin Pakatan Rakyat akan membincangkan isu berhubung dasar baru pemilikan kuota rumah Bumiputera di negeri ini yang dinaikkan daripada 30 kepada 50 peratus.

Pemimpin MCA Kedah berkata dengan kuota yang ditetapkan sebanyak 30 peratus pun rumah-rumah yang dibina tidak mampu dibeli oleh Melayu dan Bumiputera.
Inikan pula kalau 50 peratus, tegasnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gurun dari MCA, Dr Leong Yong Kong mengingatkan Kerajaan Negeri Kedah bahawa langkah kerajaan negeri mahu memperkenalkan kuota 50 peratus dibimbangi akan menjejaskan industri perumahan dan yang berkaitan dengannya di negeri itu kerana ia akan menjejas teruk ekonomi di negeri itu.

Beliau dilaporkan berkata syarat baru itu akan menyebabkan pemaju swasta tidak berminat untuk melaksanakan projek perumahan baru.

Malah, kata Dr Leong, dengan kuota 30 peratus sekarang pun, pemaju perumahan menghadapi masalah untuk menjual unit yang dibina.
Beliau menyarankan agar kerajaan negeri menjalankan kajian untuk mengetahui mengapa orang Melayu tidak boleh membeli rumah atau rumah kedai yang dibina oleh pemaju perumahan swasta.

Ahli Jawatankuasa Pusat (CEC) DAP, Teng Chang Kim, dikatakan menyokong Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) tunggal DAP di Kedah, Lee Guan Aik yang mahu mahu meninggalkan PR dan menjadi pembangkang di Kedah jika Kerajaan Pas Kedah meneruskan dasar itu.
Teng dilaporkan berkata, ahli CEC DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, juga bersetuju jika Lee mahu bertindak demikian.

Azizan sebaliknya berkata tindakan ugut-mengugut itu tidak akan menguntungkan kerajaan PR.

"Kalau di Selangor dan Perak pula Pas ugut untuk keluar (PR), apa mereka akan kata. Saya tidak suka orang ugut saya. Janganlah ugut, biar Kedah selesaikan masalah kita sendiri," katanya.
Malah katanya, terpulang kepada DAP untuk keluar daripada PR di negeri ini jika tidak bersetuju dengan dasar baru pemilikan rumah iaitu kuota Bumiputera dinaikkan daripada 30 kepada 50 peratus di semua projek perumahan.

Hairan sungguh dengan orang Melayu khususnya, apabila dasar cuba mempertahankan mereka, ada sahaja yang tidak kena.

Sebenarnya, belum ada negeri, termasuk di bawah Barisan Nasional (BN) yang berani melakukan demikian.

Kelantan yang sudah diperintah oleh PAS dengan majoriti penduduk adalah Melayu dan Bumiputera lain yang berkali-kali mengatakan berhasrat membina rumah mampu beli pun takut untuk mengumumkan dasar sedemikian.

No comments

Powered by Blogger.